Wednesday 18 September 2019

Jadi baik


Ingin berubah jadi baik? Tahniah!!!
Ingat tip ini:
1.       Buat sikit2
2.       Buat yg mudah
3.       Jadikannya sesuatu yg menyeronokkan!
Paling penting: Ikhlas kerana Allah
Moga berjaya!

Pelaburan akhirat


Apalah sangat derita selama 30, 40 atau 50 tahun di dunia kalaulah ianya merupakan pelaburan untuk kebahagian di syurga yang kekal abadi. Bersabarlah!

tak mustahil


Apa yg Allah kehendaki, pasti akan terjadi.
Firaun itu ... cuba elak kerajaannya drp ditumbangkan oleh anak Bani Israil. Lalu, dibunuhnya tiap2 bayi lelaki yg lahir. Namun, dia membesarkan Nabi Musa, yg akhirnya menjadi penyebab kemusnahannya. Itulah – agungnya perancangan Allah!
Hidup kita pun begitu. Tiada yg mustahil kalau Allah nak beri. Cuma: Pastikan Allah selalu reda dg  kita

Sunday 15 September 2019

Bila sakit...


Jangan bersedih dg ujian sakit kerana ini adalah rahmat Allah agar kita jadi org bijak - orang yang mengingati mati...

Tak ditanya...


Jangan sedih & kecewa dg perlakuan org lain. Beri nasihat. Doakannya seikhlas hati. Buat apa yg termampu. Paling penting, pastikan kita selalu dalam reda Allah sebab kita tak ditanya ttg org lain di akhirat nanti!

Saturday 7 September 2019

“RETIRE” di Usia Persaraan


 RETIRE” di  Usia Persaraan


Pagi itu, seperti biasa Cikgu Ahmad bersiap sedia untuk ke sekolah. Setelah siap berpakaian, dia menjenguk ke dapur. Tiada apa-apa makanan di meja. Isterinya pun masih dalam bilik air.

”Tak apalah. Dia tak sempat sediakan makanan kali ini. Aku makan di kantin saja”. Bisik hatinya. Terdetik juga di hati kenapa isterinya yang begitu setia dan mengambil berat tentang makan minumnya tidak menyediakan sarapan untuknya seperti biasa.

            Dia terus mengambil kunci kereta dan berjalan menuju pintu.

            ”Ayah nak ke mana tu?” Tanya Irfan, anak  bungsunya yang kebetulan pulang bercuti semester.

            Dia memandang anaknya. Penuh tandatanya.

            ”Kan ayah dah bersara?!”

            Cikgu Ahmad terduduk atas kerusi.



Itu adalah salah satu senario,  seorang guru yang mungkin tiada persediaan emosi untuk bersara. Ada pelbagai lagi contoh-contoh lain bagi menggambarkan situasi yang sama. Hakikatnya, persaraan, seperti juga memulakan kerjaya, perlu persediaan mental dan emosi.

Apa maksudnya? Ya, kita perlu bersedia dan tahu apa yang bakal kita lakukan apabila tiba masanya untu bersara. Saya tertarik dengan idea seorang rakan berkaitan hal ini dengan menggunakan perkataan RETIRE itu sendiri. Justeru, Saya kekalkan bahasa yang digunakan bagi mengekalkan keaslian dan intisarinya.

R – Read
E – Enjoy
T – Travel
I – Involve
R - Reflect
E – Excercise

1.        Read (Baca)

Sebagaimana wahyu pertama yang diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w., umat Islam digalakkan untuk membaca bagi mendapatkan ilmu.

Hambatan tugas yang rencam semasa dalam perkhidmatan menyebabkan kita mempunyai masa yang amat terhad untuk membaca bahan-bahan lain yang di luar bidang dan kita minati. Kadang-kadang apabila ke kedai atau pesta buku, banyak buku-buku yang dibeli, tapi kekal tersusun indah dalam almari tanpa berpeluang menyentuh kembali!

Sekarang, tibalah masanya! Kenal pasti kekurangan diri yang perlu terus diperbaiki dengan mengamalkan budaya membaca terutama Al-Quran (Tafsir dan terjemahan), hadis dan lain-lain bahan bacaan kesukaan kita yang telah lama diidam-idamkan terutama yang boleh menyumbang kepada pembangunan diri.

2.        Enjoy – Nikmati

Apa yang hendak dinikmati? Banyak! Antaranya, kurniaan masa lapang. Sekarang kita dianugerahkan masa yang berharga itu sepenuhnya untuk disusun atur dengan jadual sendiri! Menarik bukan?

Mungkin selama ini kita terhalang daripada melakukan hobi yang membahagiakan – membaca, menulis, berkebun dan lain-lain. Nah! Sekarang sudah tiba masanya untuk kita nikmati itu semua.

            Di usia ini, biasanya anda sudah mempunyai anak-anak yang telah berjaya mencebur diri di alam kerjaya. Dan tidak kurang juga dianugerahkan cucu-cucu comel penyejuk mata. Nikmatilah dan syukuilah kesemuanya!

3.        Travel – Melancung/mengembara

Semasa berkhidmat, kita sangat teringin untuk melihat negara orang. Tapi, apakan daya, kemampuan masa dan kewangan amat terbatas. Sempena persaraan, kita diberi ganjaran yang bukan sedikit. Jika kesihatan mengizinkan, inilah masanya merealisasikan impian menjejakkan kaki  ke negara orang yang belum kita lawati. Usah kedekut dengan diri sendiri.

Mengembaralah untuk melihat keagungan ciptaan Tuhan – iklim, warna kulit, bahasa, budaya, kemajuan, persekitaran dan lain-lain yang berbeza dengan kita. Melancung ke bumi anbiya’ (seperti Mesir, Jordan,Palestin dan lain-lain), selain daripada mengerjakan umrah, juga berupaya menyuntik keinsafan akan kepayahan yang dilalui oleh nabi-nabi, sahabat-sahabat dan orang-orang soleh terdahulu dalam perjuangan meninggikan syiar Islam.

Pengembaraan-pengembaraan seperti ini berupaya menyuntik motivasi kerohanian yang amat bermakna buat kita.

4.        Involve – libatkan diri

            Lihat sekeliling. Dengan kepakaran yang ada, mungkin anda boleh libatkan diri untuk aktiviti kemasyarakatan. Ceramah motivasi, khidmat nasihat dan sumbangan di sekolah-sekolah yang memerlukan. Juga, menyertai badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan misi kemasyarakatan dan kemanusiaan peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Cuba bina kehidupan dengan memberi. Ciptakan kebahagiaan dengan membahagiakan orang lain!

5.        Reflect – Refleksi

            Refleksi atau muhasabah diri merupakan antara aktiviti yang perlu diisi dalam kalendar hidup seorang mukmin. Usia juga ibarat perjalanan dalam satu hari. Usia emas, ibarat usia senja dan menghampiri malam. Sebagaimana refleksi yang dilakukan sebelum tidur di setiap hari yang berlalu, itulah yang seharusnya dilakukan di usia senja.

            Ambil masa untuk merenung kembali setiap fasa kehidupan yang telah dilalui. Kenal pasti setiap kesilapan yang telah kita lakukan dalam setiap peranan yang Allah amanahkan sebagai ahli keluarga, pelajar, pendidik dll. Walau pun kita telah cuba melakukan setiap tanggung jawab dengan sebaik mungkin, namun pasti ada kelemahan di mana-mana.

            Walau pun kita cuba sebaik mungkin mematuhi tuntutan syariat, namun terkadang kita tersilap langkah, tersalah arah dan terlupa akan misi kewujudan kita sebagai hamba dan khalifah. Akuilah kesilapan kita di hadapan Allah. Mohonlah keampunan daripada-Nya sebelum dosa-dosa kita ditayangkan di Padang Mahsyar di mana kita sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

            Tidak juga boleh menafikan kebenaran lantaran saksi-saksi di kala itu tidak dapat dipertikaikan kewibawaannya – Allah sendiri, malaikat-malaikat pencatat di kiri kanan dan anggota badan kita sendiri! Hebat sungguh pengadilan yang bakal kita lalui... Dan ini adalah pasti lantaran setiap hari, sekurang-kurangnya kita menyebut sebanyak 17 kali (dalam solat fardu 5 waktu) ... “Yang menguasai Hari Pembalasan..” (Al-Fatihah 1: 3).

            Inilah masanya untuk kita cuba memadamkan semua titik-titik hitam yang mungkin tercatat dalam dairi hidup kita. Istighfar. Solat taubat. Menyesali sungguh-sungguh kesilapan yang lalu. Maklumlah. Di usia muda, darah panas dan ilmu tak seberapa... Moga Allah bukan sekadar mengampuni dosa-dosa kita malah menyayangi kita kerana “Allah menyayangi orang-orang yang bertaubat”.

6.        Excercise - Senaman

Kesihatan anugerah Allah perlu dijaga sebaik mungkin agar kita boleh terus berbakti dan memberi. Antara kaedahnya ialah dengan melakukan senaman yang sesuai dengan usia kita pada masa yang sesuai.

Laburkan sedikit masa untuk senaman ringan (pagi atau petang). Sebagaimana kita laburkan wang untuk keuntungan jangka panjang, begitu juga pelaburan ini akan juga menguntungkan kerana kesihatan itu kekayaan!

            Sebagaimana kita ada wawasan yang jelas sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, begitu juga seharusnya, saat bermula usia persaraan. Seharusnya wawasan akhirat perlu diperkasakan lagi lantaran usia ini sangat kritikal - bila-bila masa kita akan dijemput untuk menghadap Ilahi. Antara yang dapat dilakukan ialah RETIRE...