Tuesday, 9 April 2019

Pentadbir Yang Prihatin

Pentadbir Yang Prihatin

Tahun 1989…

Loceng berbunyi. Aku melangkah lesu untuk ke Tingkatan 4A1. Perasaan malas menguasai setiap inci sanubariku kala menuju ke kelas itu. Apa tidaknya. Hampir 60% pelajar kelas tersebut gagal dalam mata pelajaran Rampaian Sains yang ku ajar. Sedih sungguh kerana rasanya aku sudah mengajar mereka bersungguh-sungguh! Di hati terfikir, apakah denda yang sepatutnya ku kenakan terhadap mereka  yang gagal. Tiba-tiba, aku ada idea … “ketuk ketampi hingga lulus”! Maksudnya, kalau yang dapat markah 35%, mereka perlu buat lima kali bagi mencapai markah lulus 40%. Kalau 30%, 10 kali, kalau 25%, 15 kali dan seterusnya. Itulah aku yang masih mentah sebagai guru waktu itu. Entah ke mana perginya ilmu psikologi yang dipelajar semasa di universiti – rasanya jarang diaplikasi. Entah kenapa. Mungkin, belajar sekadar ingin lulus peperiksaan sahaja, tanpa penghayatan…

Setelah Cikgu Azizah (bonda Ustaz Datuk Badlishah Alaudin), guru Bahasa Melayu keluar, aku masuk. Tanpa senyuman. Tanpa sapaan. Pelajar-pelajar dapat merasai aura negative berdasarkan perlakuanku itu. Biasanya, aku ceria, gembira dan menyapa mereka dengan mesra.

“Apa dah jadi dengan awak ni?  Macam tak faham apa yang saya ajar selama ini.” Itu ayat mula-mula hinggap ke telinga mereka. Semuanya tunduk.

“Saya sangat kecewa dengan keputusan awak kali ni. Ramai sangat yang gagal.” Tambahku lagi. Mereka masih tunduk. Kesian pulak melihat keadaan mereka begitu. Namun, ku keraskan hati. Tidak mahu tewas dalam usaha untuk bertegas dengan mereka di saat itu. Tidak akan terpedaya dengan respon mereka yang seolah-olah meminta belas kasihan itu…

Aku mula memanggil seorang demi seorang untuk memulangkan kertas jawapan yang telah disemak, bermula dengan markah tertinggi. Itu pun, hanya 63% sahaja. Selepas kesemua yang lulus mendapat kertas masing-masing, aku memberi arahan…

“Selebihnya, tidak lulus. Saya akan bacakan markah dan pelajar berkenaan kena ketuk ketampi sampai lulus.” Ujarku penuh ketegasan dan seterusnya menerangkan tatacara denda yang ku maksudkan tu.
Seorang demi seorang dipanggil untuk ke depan dan didenda. Kalau ada yang dapat markah sama, contohnya 28%, mereka akan melakukan denda itu bersama-sama. Semua akur. Tiada bantahan. Tiada rungutan. Itulah istimewanya pelajar-pelajar di tahun 1980-an. Kalau pelajar sekarang, entahlah… Keadaan terkawal sehinggalah sampai kepada seorang pelajar lelaki yang paling tinggi dalam kelas itu yang biasanya sentiasa menurut arahan. Namun, kali ini, mempamerkan kedegilan. Dia engkar dan tidak mahu melaksanakan denda yang telah ku tetapkan itu. Kerana markahnya hanya 15%, dia terpaksa cukupkan 40% dengan 25 kali ketuk ketampi.

Dia buat tak endah sahaja apabila namanya dipanggil berkali-kali. Mula-mula aku masih mampu bersabar. Lama kelamaan, mendidh darahku dibuatnya! Hilang semua sifat kesabaran dalam diri melihat telatahnya itu. Beberapa orang rakannya memujuk agar dia akur. Rakan-rakan tersebut pun turut dimarahinya! Makin panas aku dibuatnya kerana memarahi rakan-rakannya itu juga bermakna memprotes diriku juga!

Keadaan kelas tegang beberapa ketika! Pelajar-pelajar lain menunjukkan pelbagai reaksi. Ada yang marah. Ada yang gelisah. Ada yang memandangku, penuh simpati. Ada yang buat tak tahu. Aku hilang idea seketika.

 “Apa nak buat dengan pelajar ni ya?” Aku bertanya pada diri sendiri. Tiba-tiba…

“Baiklah. Kalau awak masih degil, saya akan bawa awak jumpa pengetua.” Itulah idea yang terkeluar di minda. Masa tu, tak terfikir pulak risikonya. Apakah pengetua akan menyebelahiku? Apakah pelajar tersebut akan akur untuk ke bilik pengetua? Namun, lantaran aku telah menyebut “ugutan” itu, aku bertanggung jawab untuk menjadikannya kenyataan. Kalau tidak, kedegilannya akan bertambah parah. Kesan negative lain pulak, kewibawaanku akan tercalar di mata pelajar! Mereka tidak akan percaya lagi padaku pada masa akan datang. Bahaya!

Lantaran telah menyebutkan tindakan seterusnya, yang juga menggugat keyakinan terhadap diriku sendiri, aku tekad untuk melaksanakannya.

“Baik. Ikut saya ke bilik pengetua.” Aku memberi arahan. Tegas. Dalam hati hanya Allah yang tahu betapa cemasnya aku – bimbang kalau-kalau arahan ini juga turut dibantahnya! Namun, di luar dugaan, dia akur! Alhamdulillah…Maka berjalanlah aku ke bilik pengetua dengan dia mengekori dari belakang. Sepanjang perjalanan. Doa tak putus-putus ku panjatkan pada Allah agar pengetua ada di bilik dan memberi respon yang baik pada tindakanku itu.
“Apa hal ni cikgu?” Aku disapa Cikgu Khalid dengan senyuman setibanya di pejabat. Ku biarkan saja soalannya tanpa jawapan. Terasa masa begitu berharga untuk berhenti dan memberi jawapan kepadanya. Lagi pun, Cikgu Khalid tu memang suka bergurau. Kadang-kadang kurang pasti samada dia serius aatu tidak. Tak apalah. Ada peluang nanti aku jawab soalannya, bisik hatiku. Saat-saat kritikal seperti itu kadang2 kita terpaksa bertindak di luar dugaan, menyimpang daripada kebiasaan. Pihak berkaitan perlulah faham. Ini pentingnya persefahaman antara rakan sejawat.

Aku melihat melalui cermin kecil di pintu bilik pengetua. Oh! Beliau ada di dalam. Aku menarik nafas lega. Satu halangan dah diatasi. Pintu bilik diketuk. Tn. Hj. Mohd. Akhir mengisyaratkan kebenaran untukku masuk. Dengan sedaya upaya cuba meningkatkan keyakinan diri, aku memasuki biliknya, diikuti oleh pelajar tadi.

Sekilas pandang, ku perhatikan wajah pengetua tenang, damai dan menunjukkan tanda2 sedia untuk berunding. Sekali lagi aku lega.

“Apa hal ni cikgu?” Beliau mula berbicara, nampak sedikit kehairanan kerana aku merupakan guru yang jarang ke biliknya, kecuali ada hal yang sangat penting atau diminta berjumpanya.

Dengan teliti dan berhati-hati, ku ceritakan segala yang berlaku, dari awal sehingga membawa kepada kehadiran kami berdua ke biliknya.

Dia memandang Rosli.

“Kalau kamu naik kapalterbang, kamu percaya atau tidak bahawa pilot tu ada kemahiran untuk memandu kapalterbang?” Dia menyoal Rosli dengan nada suara penuh ketegasan.

Soalannya itu mampu menyebabkan mindaku diserbu dengan pelbagai tanda tanya. Namun, aku yakin, ianya berselit hikmah dan kebijaksanaan. Rasa tak sabar pulak nak mendengar dialog seterusnya.  

Rosli mengangguk-angguk kepala. Wajahnya juga penuh tanda tanya – seperti aku. Tapi, pastinya dalam ruang lingkup yang berbeza.

“Kalau kamu diberitahu bahawa pilot tu bodoh, tak layak, kamu naik ke kapalterbang tu?” Beliau meneruskan dengan satu lagi soalan misteri.
Spontan, Rosli menggelengkan kepalanya. Kali ni Rosli menampakkan wajah yang begitu celaru dan keliru! Aku pulak, berhempas pulas menenangkan diri!

“Begitu juga dengan guru. Semua guru yang ada di sekolah ini mempunyai kelayakan untuk mengajar dan mendidik kamu. Kenapa kamu mesti engkar?” Soalan dikemukakan dengan nada yang agak tinggi.

“Kalau pilot yang layak memandu kapalterbang, kita naik kapalterbang itu tanpa banyak soal. Kalau kita tak naik, kita tak akan sampai ke tempat yang nak kita tuju.” Dia meneruskan kata-katanya. Berhenti sejenak, memandang reaksi Rosli. Rosli hanya menundukkan wajahnya. Tak berani agaknya memadang ke arah Pengetua.

“Begitu juga di sekolah. Di dalam kelas. Guru mengajar dan melakukan apa saja untuk melihat pelajar berjaya. Kalau pelajar degil dan engkar, tak sampailah maksud mereka datang ke sekolah. Nak dapat ilmu. Nak jadi orang baik. Orang pandai.” Pengetua meneruskan hujahnya.

Oh! Baru aku tahu. Analogi pilot dengan penumpang, guru dengan pelajar. Bijak…Bijak!!! Aku terpegun dan kagum dengan kewibawaan pengetuaku itu. Semangat ku semakin bertambah. Keyakinan berlipatganda sekarang, menyedari pengetua memihak padaku!

“Saya kenal guru-guru saya. Kalau tidak terdesak, mereka tidak akan datang ke bilik saya ini untuk memita bantuan menyelesaikan masalah. Kamu tahu apa maksudnya? Tindakan kamu yang engkar itu sudah melebihi had untuk ditangani oleh Cikgu Nik Zaharah.” Berhenti sejenak. Memandang Rosli yang masih tunduk.

“Kamu betul2 mencabar dia dengan sikap degil kamu itu. Dan apabila pelajar bermasalah dibawa berjumpa saya, saya tidak akan mengecewakan guru saya kerana saya tahu, semua guru saya ikhlas untuk mendidik pelajar2 saya.”

Aku semakin lega dan diam-diam, gembira! Rosli semakin menikus. Wajahnya yang begitu ketakutan membuatkan hatiku merasa sangat kesihan kepadanya. Biarlah. Dia yang meminta perkara ini berlaku. Aku menguatkan sokongan sendiri atas tndakanku.

“Kerana kamu tidak mahu didenda oleh Cikgu Nik Zaharah, kamu sebenarnya meminta saya memberi hukuman.” Pengetua bersuara dengan amat tegas. Arahan seterusnya:
“Berdiri sebelah meja ni. Letakkan kedua-dua tangan di atas meja”
Rosli akur tanpa banyak soal. Dia berada dalam posisi orang betul2 bersalah. Kedua2 tangan di atas meja menjadikan dia dalam keadaan sedikit membongkok. Pengetua berdiri dan seterusnya berjalan ke  arah almari di penjuru bilik. Aku mengekorinya dengan anak mata. Dia mengambil sesuatu daripada almari. Rotan!

“Kamu tahu mengapa, kamu akan dirotan?” Dia beranya Rosli sebelum memulakan tindakan menghukumnya.

Rosli hanya mampu menganggukkan kepala.

“Kenapa? Jawab soalan saya!” Pengetua bersuara dengan nada yang amat tegas kali ini.

“Saya… Saya…. engkar arahan Cikgu Nik Zaharah..”  Jawab Rosli, terketar-ketar.

“Lagi?”

“Saya sepatutnya dengar arahan dia.”

“Lagi?”

“Saya patut percaya kepada guru kalau nak jadi baik.” Terpegun dan terharu aku dengan jawapan Rosli kali ini.

“Adakah tindakan kami ini kerana membenci kamu?”

“Tidak!” Spontan jawapan itu terpacul daripada mulut Rosli. Aku semakin terharu…Ku cuba lawan perasaan halus yang berupaya membuatkan air mata menitis!

Episod berikutnya…Dia telah melafazkan kalimah mulia “Bismillah…”

”Zap!!! Zzzaap! Zzaap!” Tiga kali sebatan hinggap ke atas punggung Rosli. Namun sebatan itu tidaklah begitu menyakitkan. Sebatan mengajar. Sebatan mendidik. Jauh sekali membenci, dendam atau menghina. Ku perhati Rosli tenang sahaja. Entah sakit, entah ditahan sakit, nak tunjuk ‘maco” seorang lelaki! Apatah lagi di hadapan seorang guru muda perempuan…

Selesai episode rotan, pengetua terus menyambung sesi mendidiknya.

“Baik, sekarang dah selesai. Apa janji kamu?”

“Saya berjanji tidak akan melawan guru lagi.”

“Apa lagi?”

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk jadi orang yang berjaya.” Terharu aku dengan janji kedua Rosli itu. Berdasarkan nada suara dan riak wajah yang dipamerkan, aku yakin dia benar2 ikhlas kala mengikrarkan janji itu. Diam-diam, aku mendoakan semoga dia akan menjadi insan berjaya dan berguna suatu hari nanti.

“Bagus. Saya harap awak akan akur dengan janji-janji itu. Ingat, orang yang derhaka kepada guru tidak akan berjaya walau pun sehebat mana pun dia. Walau pun sekuat mana pun dia belajar. “ Tn. Hj. Mohd Akhir meneruskan sesi didikannya yang amat unik ku rasakan.

“Baiklah. Sekarang kamu boleh balik ke kelas. Saya nak berbincang dengan Cikgu Nik Zaharah”.

“Terima kasih cikgu,” ujar Rosli penuh dan bersalam dengan pengetua dengan penuh sopan.
“Terima kasih cikgu. Saya minta maaf…” Sempat dia mengungkapkan perkataan2 bernilai itu padaku sebelum keluar dari bilik pengetua,  dengan gaya seorang pelajar yang sangat beradab.

Keadaan sunyi seketika. Aku berhempas pulas mengawal emosi yang beraneka – cemas, terharu, gembira, bersyukur … silih berganti.

“Saya minta maaf cikgu kerana terpaksa membawanya ke sini. Saya tahu cikgu sibuk dengan tugas2 yang lain yang lebih penting. Tapi, kerana saya dah terlepas cakap, ingatkan ugutan nak bawa jumpa Pengetua mampu membuatkan dia akur, ikut perintah, tapi tidak juga diendahkan. Jadi, saya terpaksa  bawa dia ke sini.” Aku mula bersuara, menerangkan perkara sebenar yang rasanya perlu. Aku memang tak bermaksud pun nak minta pengetua menyelesaikan masalah sekecil itu, yang sepatutnya ditangani sendiri oleh seorang guru. Perkara ini tidak ku sebut masa kehadiran Rosli tadi kerana ku rasa kurang sesuai didengarnya. Tapi, perlu diterangkan kepada pengetua.

“Tak apa cikgu. Saya faham. Itulah yang sepatutnya cikgu lakukan. Jangan anggap perkara ini kecil kerana yang kecil inilah memberi kesan besar di kemudian hari.” Pengetua membalas, penuh wibawa!
“Lagi pun, ini juga antara tugas saya – membantu apabila diperlukan terutama saat kritikal macam ni. Saya tak mampu lah nak ke bilik darjah setiap masa memantau masalah disiplin pelajar. Tapi, kalau dibawa kepada saya kes seperti ini, dapat juga saya tahu dan kenal pelajar bermasalah. Juga setakat mana besar masalahnya.” Dia berhenti sejenak.

Aku terpaku. Terpegun mendengar setiap patah perkataan yang disuarakannya.

“Begitulah cikgu, pelajar lelaki. Suka mencabar guru-guru muda, apatah lagi guru perempuan. Kalau ada masalah lagi, jangan teragak-agak untuk berjumpa saya.” Dia mengakhiri kata-katanya yang betul-betul mampu menyuntik semangat ke dalam diriku, menyredari bahawa pentadbir sentiasa menyokong gurunya yang berusaha mendidik pelajar dengan baik.

“Terima kasih cikgu.” Itu saja yang mampu ku ucapkan di kala itu. Rasanya banyak lagi nak ku nyatakan kepadanya,  tapi ku lupakan saja keana aku perlu akur dengan tugasnya yang lain yang perlu diselesaikan.

“Saya minta diri dulu, cikgu”.  Beliau mengangguk kepala sambil menghadiahkan daku senyuman ikhlas seorang ketua yang amat berwibawa untuk seorang guru yang masih hijau dalam dunia pendidikan.

Perasaan bercampur baur memenuhi jiwaku saat melangkah keluar meninggalkan bilik pengetua. Syukur kerana Allah membantu memudahkan urusanku. Terharu dengan segala yang berlaku – terutama sekali tindakan dan kata2 Rosli. Paling utama, terpegun dengan ilmu dan pengalaman yang Allah hadiahkan kepadaku sebentar tadi melalui wibawa seorang pengetua. Walau pun seketika cuma, namun, pelbagai hikmah mampu ku kutip – antaranya tidak mengecewakan orang bawahan walau sesibuk mana pun, penggunaan analogi yang berkesan, meminta pelajar memberi rasional sebelum menghukum dan sedia membantu guru walau sesibuk mana pun. Masalah yang dianggap kecil oleh seorang guru permulaan harus ditangani dengan bijak oleh pentadbir kerana masalah2 kecil inilah yang menjadi penyebab kepada masalah besar di kemudian hari.

Sangat besar sebenarnya tugas seorang pengetua. Namun, setiap sokongan yang diberi amat bermakna bagi seorang guru. Seorang pengetua di sekolah ibarat matahari dalam Sistem Suria. Kiranya matahari bersinar terang, Bumi akan segar lantaran pokok mampu melaksanakan proses fotosintesis dengan baik bagi menyediakan makanan dan oksigen untuk hidupan lain khususnya manusia kerana manusia bertanggung jawab sebagai khalifah yang akan memakmurkan dunia. Sebaliknya, jika matahari suram, kehidupan dan kesegaran  Bumi juga turut terjejas. Ya! Benarlah, matahari itu penentu iklim…Pengetua atau pentadbir yang berwibawa, sentiasa menyokong dan membimbing semua pegawai di dalam organisasinya akan berjaya menghasilkan iklim yang positif dalam organisasi tersebut!

Hasil tarbiah pengetua, Rosli menunjukkan perubahan yang sangat positif. Kadang-kadang apa yang kita anggap satu kesilapan itu merupakan satu cara Allah ingin menghadiahkan satu ilmu dan pengalaman berharga! Kesiplapanku mengeluarkan “ugutan” rupa2nya mengajar ku dan juga Rosli banyak perkara. Terima kasih Allah mengurniakan aku ilmu dan pengalaman bermakna menerusi seorang pengetua bernama Tn. Hj. Mohd. Akhir bin Syafie. Moga rahmat Allah sentiasa bersamanya – di dunia dan di akhirat sana. Aamiin…








1 comment:

  1. Mulianya guru..mengajarkan ilmu kepada orang lain dan belajar dari orang lain jua..

    ReplyDelete