“RETIRE”
di Usia Persaraan
Pagi itu, seperti
biasa Cikgu Ahmad bersiap sedia untuk ke sekolah. Setelah siap berpakaian, dia
menjenguk ke dapur. Tiada apa-apa makanan di meja. Isterinya pun masih dalam
bilik air.
”Tak apalah. Dia
tak sempat sediakan makanan kali ini. Aku makan di kantin saja”. Bisik hatinya.
Terdetik juga di hati kenapa isterinya yang begitu setia dan mengambil berat
tentang makan minumnya tidak menyediakan sarapan untuknya seperti biasa.
Dia
terus mengambil kunci kereta dan berjalan menuju pintu.
”Ayah
nak ke mana tu?” Tanya Irfan, anak
bungsunya yang kebetulan pulang bercuti semester.
Dia
memandang anaknya. Penuh tandatanya.
”Kan
ayah dah bersara?!”
Cikgu
Ahmad terduduk atas kerusi.
Itu
adalah salah satu senario, seorang guru
yang mungkin tiada persediaan emosi untuk bersara. Ada pelbagai lagi
contoh-contoh lain bagi menggambarkan situasi yang sama. Hakikatnya, persaraan,
seperti juga memulakan kerjaya, perlu persediaan mental dan emosi.
Apa
maksudnya? Ya, kita perlu bersedia dan tahu apa yang bakal kita lakukan apabila
tiba masanya untu bersara. Saya tertarik dengan idea seorang rakan berkaitan
hal ini dengan menggunakan perkataan RETIRE
itu sendiri. Justeru, Saya kekalkan bahasa yang digunakan bagi mengekalkan
keaslian dan intisarinya.
R – Read
E – Enjoy
T – Travel
I – Involve
R - Reflect
E – Excercise
1.
Read (Baca)
Sebagaimana
wahyu pertama yang diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w., umat
Islam digalakkan untuk membaca bagi mendapatkan ilmu.
Hambatan
tugas yang rencam semasa dalam perkhidmatan menyebabkan kita mempunyai masa
yang amat terhad untuk membaca bahan-bahan lain yang di luar bidang dan kita
minati. Kadang-kadang apabila ke kedai atau pesta buku, banyak buku-buku yang
dibeli, tapi kekal tersusun indah dalam almari tanpa berpeluang menyentuh
kembali!
Sekarang,
tibalah masanya! Kenal pasti kekurangan diri yang perlu terus diperbaiki dengan
mengamalkan budaya membaca terutama Al-Quran (Tafsir dan terjemahan), hadis dan
lain-lain bahan bacaan kesukaan kita yang telah lama diidam-idamkan terutama
yang boleh menyumbang kepada pembangunan diri.
2.
Enjoy –
Nikmati
Apa
yang hendak dinikmati? Banyak! Antaranya, kurniaan masa lapang. Sekarang kita
dianugerahkan masa yang berharga itu sepenuhnya untuk disusun atur dengan
jadual sendiri! Menarik bukan?
Mungkin
selama ini kita terhalang daripada melakukan hobi yang membahagiakan – membaca,
menulis, berkebun dan lain-lain. Nah! Sekarang sudah tiba masanya untuk kita
nikmati itu semua.
Di usia ini, biasanya anda sudah
mempunyai anak-anak yang telah berjaya mencebur diri di alam kerjaya. Dan tidak
kurang juga dianugerahkan cucu-cucu comel penyejuk mata. Nikmatilah dan
syukuilah kesemuanya!
3.
Travel
– Melancung/mengembara
Semasa berkhidmat, kita sangat teringin untuk
melihat negara orang. Tapi, apakan daya, kemampuan masa dan kewangan amat
terbatas. Sempena persaraan, kita diberi ganjaran yang bukan sedikit. Jika
kesihatan mengizinkan, inilah masanya merealisasikan impian menjejakkan
kaki ke negara orang yang belum kita
lawati. Usah kedekut dengan diri sendiri.
Mengembaralah untuk melihat keagungan ciptaan
Tuhan – iklim, warna kulit, bahasa, budaya, kemajuan, persekitaran dan
lain-lain yang berbeza dengan kita. Melancung ke bumi anbiya’ (seperti Mesir,
Jordan,Palestin dan lain-lain), selain daripada mengerjakan umrah, juga
berupaya menyuntik keinsafan akan kepayahan yang dilalui oleh nabi-nabi,
sahabat-sahabat dan orang-orang soleh terdahulu dalam perjuangan meninggikan
syiar Islam.
Pengembaraan-pengembaraan seperti ini berupaya
menyuntik motivasi kerohanian yang amat bermakna buat kita.
4.
Involve
– libatkan diri
Lihat
sekeliling. Dengan kepakaran yang ada, mungkin anda boleh libatkan diri untuk
aktiviti kemasyarakatan. Ceramah motivasi, khidmat nasihat dan sumbangan di
sekolah-sekolah yang memerlukan. Juga, menyertai badan-badan bukan kerajaan
(NGO) untuk melaksanakan misi kemasyarakatan dan kemanusiaan peringkat negeri,
kebangsaan atau antarabangsa.
Cuba
bina kehidupan dengan memberi. Ciptakan kebahagiaan dengan membahagiakan orang
lain!
5.
Reflect
– Refleksi
Refleksi
atau muhasabah diri merupakan antara aktiviti yang perlu diisi dalam kalendar
hidup seorang mukmin. Usia juga ibarat perjalanan dalam satu hari. Usia emas,
ibarat usia senja dan menghampiri malam. Sebagaimana refleksi yang dilakukan
sebelum tidur di setiap hari yang berlalu, itulah yang seharusnya dilakukan di
usia senja.
Ambil masa untuk merenung kembali
setiap fasa kehidupan yang telah dilalui. Kenal pasti setiap kesilapan yang
telah kita lakukan dalam setiap peranan yang Allah amanahkan sebagai ahli
keluarga, pelajar, pendidik dll. Walau pun kita telah cuba melakukan setiap
tanggung jawab dengan sebaik mungkin, namun pasti ada kelemahan di mana-mana.
Walau pun kita cuba sebaik mungkin
mematuhi tuntutan syariat, namun terkadang kita tersilap langkah, tersalah arah
dan terlupa akan misi kewujudan kita sebagai hamba dan khalifah. Akuilah
kesilapan kita di hadapan Allah. Mohonlah keampunan daripada-Nya sebelum
dosa-dosa kita ditayangkan di Padang Mahsyar di mana kita sudah tidak mampu
berbuat apa-apa.
Tidak juga boleh menafikan kebenaran
lantaran saksi-saksi di kala itu tidak dapat dipertikaikan kewibawaannya –
Allah sendiri, malaikat-malaikat pencatat di kiri kanan dan anggota badan kita
sendiri! Hebat sungguh pengadilan yang bakal kita lalui... Dan ini adalah pasti
lantaran setiap hari, sekurang-kurangnya kita menyebut sebanyak 17 kali (dalam
solat fardu 5 waktu) ... “Yang menguasai Hari Pembalasan..” (Al-Fatihah
1: 3).
Inilah masanya untuk kita cuba
memadamkan semua titik-titik hitam yang mungkin tercatat dalam dairi hidup
kita. Istighfar. Solat taubat. Menyesali sungguh-sungguh kesilapan yang lalu.
Maklumlah. Di usia muda, darah panas dan ilmu tak seberapa... Moga Allah bukan
sekadar mengampuni dosa-dosa kita malah menyayangi kita kerana “Allah
menyayangi orang-orang yang bertaubat”.
6.
Excercise
- Senaman
Kesihatan
anugerah Allah perlu dijaga sebaik mungkin agar kita boleh terus berbakti dan
memberi. Antara kaedahnya ialah dengan melakukan senaman yang sesuai dengan
usia kita pada masa yang sesuai.
Laburkan
sedikit masa untuk senaman ringan (pagi atau petang). Sebagaimana kita laburkan
wang untuk keuntungan jangka panjang, begitu juga pelaburan ini akan juga
menguntungkan kerana kesihatan itu kekayaan!
Sebagaimana kita ada wawasan yang
jelas sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, begitu juga seharusnya, saat
bermula usia persaraan. Seharusnya wawasan akhirat perlu diperkasakan lagi
lantaran usia ini sangat kritikal - bila-bila masa kita akan dijemput untuk
menghadap Ilahi. Antara yang dapat dilakukan ialah RETIRE...