“Apa yang kelihatan mustahil pada akal manusia biasa
akan tetap terjadi sekiranya Allah menghendakinya…”
Rasanya masa berjalan begitu pantas. Setelah pembentangan
kemajuan, anda perlu bersedia untuk pembentangan pemantapan (merujuk kepada
Fakulti Pendidikan UKM). Pembentangan kali ini melibatkan keseluruhan tesis
anda yang lengkap (Bab 1 – Bab V) iaitu bermula dengan Pengenalan, Tijauan
Literatur, Metodologi, Analisis Data dan Rumusan/Kesimpulan.
Pembentangan
Pemantapan
Analisis data sudah dibentangkan semasa peringkat
kemajuan. Justeru, tugas anda
kini ialah membuat analisis, sintesis, rumusan dan kesimpulan daripada analisis
data yang dibuat. Ini merangkumi
interpretasi data daripada pelbagai sumber, mengaitkan dapatan dengan tinjauan
literatur dan merumuskan dapatan serta membuat kesimpulan.
Persediaan
powerpoint? Tak jadi masalah kerana
ini ia hanya memerlukan sedikit penambahan kepada powerpoint yang telah sedia ada semasa peringkat kemajuan dulu,
cuma yang perlu ditambah ialah bahagian perbincangan, implikasi kajian, rumusan
dan cadangan untuk kajian lanjutan.
Walau bagaimana pun inilah peringkat yang paling mencabar kerana, menurut
penyelia saya, di sinilah terserlahnya kesarjanaan seseorang pelajar. Penulisan
perlu dibuat dengan berhati-hati. Pemikiran perlu berada pada fokus yang paling
tinggi.
Penulisan
bab akhir ini memerlukan anda untuk betul-betul menggunakan pemikiran aras
tinggi. Sekiranya perlu, ambil 3-5 hari untuk pergi ke suatu tempat di mana
anda tidak boleh diganggu. Minta kerjasama dari orang sekeliling anda (seperti
orang tersayang, ahli keluarga) untuk memahami keadaan anda pada peringkat ini.
Nyatakan dengan jujur, telus dan ikhlas kepada mereka akan apa yang perlu
mereka buat untuk membantu anda pada peringkat ini iaitu : ” Masa untuk tidak
diganggu”.
Bagi
memungkinkan penulisan pada peringkat ini, anda perlu membaca keseluruhan bab
sebelum ini, bermula dengan Pengenalan (Pernyataan masalah, persoalan kajian,
objektif kajian dan lain-lain), tinjauan literatur, metodologi kajian dan
analisis data. Anda perlu mendapatkan gambaran keseluruhan secara sepadu kerana
penulisan peringkat ini mesti dikaitkan dengan bab-bab sebelumnya. Interpretasi
yang timbul perlu dikaitkan dengan pernyataan masalah, persoalan kajian dan
objektif kajian. Dapatan kajian pula perlu dikaitkan dengan tinjauan literatur
(teori dan kajian lepas yang berkaitan). Mungkin juga anda akan dapati
percanggahan hasil kajian anda dengan kajian lepas. Anda perlu membuat analisis
dan rumusan beserta justifikasi yang boleh dipertanggungjawabkan. Mungkin
mengaitkan dengan metodologi yang digunakan. Justeru, benarlah kata-kata
penyelia saya: Peringkat ini menentukan kesarjanaan seseorang pelajar.
Setelah
deraf pertama siap, biarkan untuk beberapa hari sebelum disemak bagi memberi
peluang rehat untuk minda anda; ini akan membantu kecekapannya membuat semakan.
Baca keseluruhan deraf. Buat pembetulan yang difikirkan perlu. Puas hati?
Bagus! Sekarang anda telah bersedia untuk pembentangan. Sebelum hari
pembentangan, pastikan anda memberi kerehatan yang cukup pada diri anda –
fizikal, mental dan emosi. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar memudahkan
perjalanan anda.
Semasa pembentangan, lakukan penuh ketenangan. Tiada apa
yang perlu anda bimbangkan lantaran anda telah berada di peringkat akhir. Anda
telah lakukan segala usaha yang memungkinkan anda berada pada peringkat ini.
Tunjukkan keyakinan nescaya anda akan diyakini oleh semua yang hadir. Beri
respons yang baik kepada setiap persoalan dan kritikan.
Selepas pembentangan, biasanya anda perlu membuat
pembetulan berdasarkan komen pemeriksa dan penyelia anda. Buat secepat mungkin
sebelum segala-galanya pudar dari ingatan. Teruskan momentum sedia ada dengan
penuh ketabahan. Hindarkan rasa jemu dan bosan yang mungkin melanda. Ingat,
perjalanan dan hampir ke penghujung... Anda perlu menghantar tesis akhir yang
membolehkan anda layak untuk viva.
Viva
Terpegun anda dibuatnya mendapati perjalanan intelek ini
sudah menghampiri penghujungnya! Setelah menghantar deraf tesis lengkap, anda
terpaksa bersedia untuk menghadapi cabaran hebat dalam usaha memburu cita-cita
mendapat Ph. D: ujian lisan atau viva, satu istilah yang mampu menggegarkan
jiwa setiap pelajar Ph.D! Apa tidaknya – ia bakal menentukan samada kejayaan
bakal anda miliki atau sebaliknya. Menurut seorang rakan: Viva menguji,
antaranya tiga perkara: sama ada anda buat
betul, buat betul-betul dan
betul-betul buat!
i.
Sebelum Viva
Sekiranya anda telah melaksanakan setiap peringkat tesis
dengan baik mulai daripada Usulan Penyelidikan, Perkembangan dan Pemantapan,
anda tidak perlu risau kerana soalan-soalan yang bakal dikemukakan cuma
berkisar kepada kerja yang telah anda buat. Apa yang perlu anda lakukan ialah
menyediakan Ringkasan Eksekutif (lebih kurang 10 muka surat), buat pembetulan
tesis (berdasarkan maklum balas, komen dan cadangan semasa pembentangan
pemantapan yang lalu) dan paling penting persediaan untuk pembentangan semasa
viva (seperti power-point).
- Persediaan Pembentangan
Bagi Ringkasan Eksekutif, mungkin tiada masalah kerana
anda hanya perlu membuat sedikit pemurnian pada pembentangan semasa Pemantapan
dulu. Begitu juga, mungkin hanya sedikit pembetulan bagi tesis. Yang agak
kritikal sekarang ialah persediaan untuk pembentangan. Anda perlu banyak
berlatih agar ianya dapat dibentangkan dengan lancar, menggunakan intonasi yang
sesuai dan menepati peruntukan masa (biasanya 20 minit).
Anda perlu betul-betul bersedia kerana anda diharap
menunjukkan persembahan terbaik (excellent
performance) pada hari tersebut. Bagaimana? Anda perlu jelas tentang
keseluruhan tesis anda. Tiada masalah kan? Ini kerana anda sendiri yang
membuatnya bermula daripada mendapatkan persoalan kajian, membuat kajian di
lapangan, mengutip dan menganalisis data, membuat interpretasi, rumusan dan
kesimpulan kajian anda. Ini bermakna anda telah menguasai keseluruhan tesis
tersebut. Anda perlu jelas tentang tesis anda – setiap muka surat, setiap baris
dan metodologi yang digunakan.
- Soalan Jangkaan
Apa yang merisaukan ialah tentang soalan yang bakal
dikemukan semasa viva kan? Ya, itu memang benar. Viva, selain daripada menguji
tesis anda, ia juga menguji sejauh mana keupayaan anda untuk mempertahankan
setiap hujah yang dikemukakan dalam tesis, memberi penjelasan lanjut terhadap
apa yang pembaca perlukan, meyakinkan pemeriksa bahawa anda dan tesis anda
layak diiktiraf untuk penganugerahan Ph.D. Selain daripada menjelaskan kepada
pemeriksa tentang bidang kajian anda,
tujuan viva juga ialah untuk membuktikan anda betul-betul pakar dalam
bidang kajian anda. Justeru, semasa persediaan power-point untuk pembentangan, ramalkan soalan-soalan yang bakal
dikemukakan oleh pemeriksa dan bersedialah dengan jawapannya. Anda boleh
sediakan jawapan pada slaid di bahagian akhir. Katalah pembentangan anda
mengandungi 20 slaid, jadi slaid berikutnya (mungkin 10 slaid) adalah jawapan
kepada soalan-soalan jangkaan anda.
- Latihan Intensif Pembentangan
Sekarang power-point dah selesai. Puas hati? Baiklah,
sekarang anda perlu berlatih sebaiknya untuk pembentangan. Fokuskan kepada
”flow”, intonasi suara dan paling penting peruntukan masa. Gunakan perakam
suara bagi memastikan anda menepati peruntukan masa (20 minit atau tempoh yang
ditetapkan oleh institusi anda sebagaimana tercatat dalam surat panggilan untuk
viva). Keupayaan anda untuk
membentangkan tesis secara padat, tepat dan spesifik pada masa yang ditetapkan
juga merupakan antara kemahiran profesional yang perlu anda kuasai sebagai
seorang calon “Dr.”.Rakam dan dengar semula rakaman tersebut bagi
memastikan penggunaan bahasa yang tepat, jelas, intonasi suara yang menarik
untuk didengar, menunjukkan keyakinan yang tinggi dan menggambarkan anda
benar-benar mahir dalam bidang kajian yang dibuat. Ingat, pemeriksa merupakan
insan biasa yang akan terpegun dengan pembentangan
yang menarik dan meyakinkan.
Fahami dengan jelas maksud ”power point” iaitu ”point”
yang ada ”power”. Pada setiap slaid itu masukkan hanya fakta penting sahaja.
Anda tentu sudah mahir teknik CASPER
dalam penyediaan persembahan power point kan? Secara ringkasnya, ia merujuk
kepada banyak mana perkataan yang perlu dimasukkan dalam sesuatu slaid. Elakkan
daripada pembentangan power point yang seperti ”buku elektronik” yang
dipaparkan. Pemeriksa dan semua yang hadir semasa viva tiada masa untuk membaca
kesemua perkataan yang terlalu banyak pada satu-satu slaid. Walau pun ini
adalah sesuatu yang tersangat asas, namun ia tidak kurang pentingnya kerana
boleh mempengaruhi emosi dan mental semua yang hadir semasa viva lantaran
”letih” membacanya!
- Persediaan Kerohanian
Seterusnya, sebagaimana keresahan dan kerisauan anda
semasa memulakan perjalanan, perkara yang sama berulang lagi dalam diri anda.
Resah. Gelisah. Risau. Cemas. Bimbang. Itulah hakikat yang harus diterima.
Apakah yang perlu anda lakukan? Jangan hilang arah. Ingat tak semasa memulakan
perjalanan? Anda kan telah meletakkan matlamat pengajian ini ialah untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, mohonlah bantuan dari-Nya yang tidak
pernah dan tidak akan mengecewakan anda. 3-4 minggu sebelum viva, selain daripada
persiapan mental/intelektual (ringkasan eksekutif, pembetulan tesis,
persembahan power-point), anda juga
perlu persediaan kerohanian.
Teringat saya pesan seorang rakan yang mendapat kejayaan
cemerlang dalam viva: ”Dekatkan diri kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa, Allah
s.w.t. Lakukan solat taubat (memohon kebersihan jiwa/hati/nurani agar dapat
dipenuhi oleh nur Ilahi), solat hajat (agar dikurniakan Allah ketenangan,
kesabaran dan kebijaksanaan dan seterusnya kejayaan yang cemerlang dalam viva
nanti) dan berzikir secara berterusan (istiqamah).” Ya, yakinlah dengan bantuan Allah. Ingat: Tiada yang mustahil dengan bantuan Allah
dan tiada yang dapat menghalang sekiranya anugerah Allah!
- Jaga Kesihatan (Mental, Fizikal dan Emosi)
Selain daripada itu, di peringkat kritikal ini, anda
perlu jaga kesihatan sebaik mungkin: mental, fizikal dan emosi. Dari segi
mental, tenangkan fikiran anda agar dapat berfikir dengan baik. Menurut mentor
saya, kita tidak boleh berbuat sesuatu dengan rasional sekiranya tiada ketenangan.
Dari sudut fizikal pula, jaga pemakanan, senaman dan kesihatan bagi memastikan
anda kekal mantap bila tiba hari viva.
Manakala dari segi emosi pula, kekalkan kemahiran
interpersonal anda iaitu jaga hubungan dengan orang di sekeliling anda agar tidak
timbul konflik yang boleh mengganggu emosi anda. Kenal pasti individu-individu
yang positif dan bermotivasi untuk berinteraksi bagi meningkatkan motivasi dan
dorongan di saat-saat ini. Bertanyalah pada mereka yang telah berjaya dalam
perjalanan intelek ini bagi mendapatkan panduan-panduan berguna.
ii.
Semasa Viva
Setelah bertungkus lumus membuat persediaan, hari viva
pun tiba... Seperti panduan
peperiksaan biasa: datanglah awal supaya anda dapat bertenang. Pastikan anda
membawa semua keperluan untuk viva, antaranya: tesis anda, komputer riba, pen,
pensil, kertas, ringkasan eksekutif, air mineral dan lain-lain yang anda
rasakan perlu. Semasa menunggu, bertenanglah. Jangan lupa berzikir dan berselawat. Rasanya inilah antara saat anda
memang betul-betul perlu berdoa dan bertawakkal kepada Allah setelah segala
usaha dilakukan dengan sebaik mungkin.
- Cipta Permulaan yang Baik
Semasa melangkah masuk ke bilik peperiksaan, baca doa dan
kekalkan ketenangan. Berilah senyuman kepada yang hadir. Anggaplah mereka
sebagai pasukan yang akan membantu mengesahkan kejayaan anda. Mereka merupakan
individu-individu penting di institusi anda: biasanya dekan fakulti pengajian,
penyelia-penyelia anda pemeriksa dalam dan wakil fakulti. Selain daripada itu, pemeriksa luar juga hadir semasa
sesi viva. Tunjukkan penghargaan pada mereka dengan memberi salam atau ucapan
selamat, tutur kata dan bicara yang sopan diiringi dengan senyuman ikhlas.
Dengan cara ini, anda bukan sahaja berupaya mengurangkan gemuruh dalam diri
tetapi menghasilkan jalinan perasaan yang positif dengan mereka. Satu permulaan
yang baik untuk merangsang anda menghadapi ujian penentu kejayaan di garisan
penamat perjuangan ini!
- Buat Pembentangan Terbaik
Selepas sedikit kata-kata aluan dan panduan/peraturan
peperiksaan selesai diberikan oleh pengerusi, sekarang tibalah giliran anda
untuk membentang. Dengan ucapan Bismillah dan salam kepada yang hadir,mulakan
pembentangan dengan penuh yakin, tenang, jelas dan menarik untuk didengar. Anda tidak perlu risau lantaran anda telah membuat persediaan yang terbaik. Ingat: Buat
yang terbaik! Tarik perhatian pendengar semasa pembentangan. Iktirafkan kehebatan
anda! Jika tidak, anda tidak berada di situ! Jadikan viva satu kenangan manis
untuk diingati!
- Sesi Soal-Jawab
Pembentangan selesai. Kini tiba sesi yang lebih mencabar:
soal-jawab di mana anda akan dihujani soalan-soalan daripada kesemua yang
hadir. Jangan bimbang. Jawapan kepada semua soalan ada dalam tesis anda
(justeru, ada di minda anda!). Dan mungkin juga ada dalam 10 slaid terakhir
power-point anda! Soalan-soalan mereka hanya memohon penjelasan lantaran
kefahaman mereka tentang kajian anda sudah tentu tidak dapat menandingi
kefahaman anda. Kenapa? Anda telah bertungkus-lumus, siang dan malam selama 3-7
tahun dengan kajian tersebut sedangkan mereka mendengar tentangnya selama
pembentangan 20 minit sahaja (tidak termasuk penyelia-penyelia anda, pemeriksa
dalam dan pemeriksa luar yang telah ditugaskan menyelia dan memeriksa tesis
anda).
Walau bagaimana pun mereka adalah pakar. Jadi, berilah
jawapan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Beri masa untuk diri anda
berfikir bagi membolehkan jawapan yang diberik mempamerkan keyakinan,
kebijaksanaan dan penguasaan tesis yang mantap. Bagi menyokong jawapan, kenal
pasti rujukan utama yang digunakan dalam tesis. Sebut rujukan ini dengan penuh keyakinan apabila perlu
semasa mengemukakan jawapan. Pemeriksa
akan terpegun dan berpuas hati dengan pelajar yang yakin tentang apa yang
dibuat.
Selain daripada itu, anda perlu bertenang dan bersikap
terbuka. Terima cadangan yang diberi dengan berhati-hati dan bijak. Walau
bagaimana pun jangan terlalu cepat untuk mengubah apa yang telah anda buat.
Pemeriksa hanya ingin memastikan bahawa anda benar-benar faham apa yang anda
buat dan anda sendiri yang membuatnya! Jangan menganggap setiap cadangan yang
dikemukakan sebagai saranan untuk mengubah tesis anda. Keputusan yang dibuat
semasa melaksanakan kajian tidak seharusnya diubah semasa viva. Anda seharusnya
dan sepatutnya membentangkan secara jelas dan memberi justifikasi, nyatakan
kefahaman dan perspektif anda semasa penulisan dibuat tentang persoalan yang
ditimbulkan.
- Bersedia Untuk Perkara Di Luar Jangka
Sebagaimana anda bersedia untuk menghadapi
perkara-perkara di luar jangka semasa persediaan dahulu, begitu juga semasa
viva. Bersedialah untuk menghadapi situasi yang tidak menyenangkan seperti
pemeriksa yang tidak bersimpati dengan anda, soalan-soalan yang dikemukakan
tidak relevan (pada anggapan anda) atau cuba meremehkan usaha anda dan
lain-lain. Kekalkan ketenangan dalam diri anda dan terus pamerkan keyakinan dan
kebijaksanaan dalam menghadapi situasi tersebut di samping kekalkan hubungan
menegak anda – dengan Allah s.w.t. Beritahu diri anda bahawa setiap usaha yang
diiringi dengan doa dan tawakkal akan insya’-Allah membuahkan kejayaan yang
diharapkan. Allah tidak pernah menghampakan...
Tanpa disedari, sesi pembentangan dan soal-jawab
berakhir. Seterusnya, anda diminta keluar bilik untuk beberapa ketika bagi
membolehkan pasukan penilai berbincang dan memberi keputusan samada anda layak
dianugerahkan Ph.D atau sebaliknya. Di saat menunggu, bersyukurlah kerana anda
telah sampai ke tahap ini dan berdoalah semoga kejayaan menjadi milik anda.
Anda lulus! Seiring dengan itu, ada akan menerima ucapan
tahniah dari semua yang hadir. Kegembiraan anda di luar ungkapan kata-kata!
Jangan lupa – berilah penghargaan dan ucapan terima kasih kepada setiap ahli
majlis yang hadir (Saya nyatakan begitu bagi mengelakkan anda terlupa dek
terlalu gembira!)
Pengalaman
Setelah pembentangan selesai, saya diminta keluar bilik bersejarah itu
untuk menunggu ahli majlis membuat keputusan samada saya layak atau tidak
dianugerahkan Ph.D. Semasa penantian, apa yang saya rasa hanya kelegaan kerana
telah melalui ujian 20 minit yang lepas tanpa banyak masalah. Perasaan bimbang
terus meninggalkan sanubari saya kerana saya telah membuat yang terbaik.
Telahan ini adalah berdasarkan reaksi semua yang hadir, yang kelihatan, tenang,
damai, selesa dan ceria! Sepanjang pembentangan dan sesi soal jawab juga mereka
kelihatan berpuas hati. Lagi pun, waktu itu, saya sudah terlalu penat untuk
bimbang!
Alhamdulillah, telahan saya
ternyata tepat! Setelah dipanggil masuk, saya diberi ucapan tahniah oleh semua
yang hadir. Apa yang amat membahagiakan ketika itu ialah panggilan “Dr.” yang
pertama untuk saya daripada penyelia saya sendiri!
iii.
Selepas Viva
Setelah semuanya berlalu, anda mungkin tidak mampu lagi
untuk bergembira lantaran terlalu penat: fizikal dan mental! Biasanya orang
lain yang lebih gembira dari anda atas kejayaan tersebut! Ini adalah lumrah
kerana yang bertungkus siang malam, setiap detik bermula daripada menerima
surat untuk hadir viva,ialah anda, bukan mereka! Walau bagaimana pun, pamerkan kegembiraan anda, walau pun
dalam keadaan terpaksa! Jangan hampakan mereka. Sekiranya mereka ingin meraikan
kejayaan anda, penuhilah hasrat mereka kerana mereka juga ada hak untuk
diraikan. Kenapa? Ini kerana, mereka biasanya merupakan orang-orang yang dekat
dengan anda dan membantu anda samada dari segi sokongan moral, material, masa,
buah fikiran dan sebagainya, sepanjang perjalanan intelek sehingga memungkinkan
anda berada di puncak kejayaan di hari tersebut!
c)
Pemurnian Tesis
Namun, sekarang perjuangan belum selesai! Anda mungkin
diberi tempoh tiga (atau enam) bulan untuk membuat pemurnian pada tesis anda.
Ada juga yang cemerlang – hanya diberi tempuh 2-3 minggu sahaja. Ambil peluang
ini untuk membuat temu janji dengan penyelia dan juga pemeriksa anda.
- Jangan Bertangguh
Satu ingatan penting:
Jangan bertangguh! Jangan leka dibuai dengan kenangan manis kejayaan semasa
viva sehingga menyebabkan anda terlalu asyik meraikan kejayaan dengan memberi
kerehatan berlebihan pada diri anda! Masa berjalan pantas. Memang anda
tersangat penat. Tapi, seperti jaguh atlet yang menghabiskan larian 400m, saat
paling mencabar adalah apabila berada hampir di garisan penamat – semua tenaga
telah dikerah, namun masih perlu sedikit lagi kekuatan untuk sampai ke garisan
yang memungkinkan gelaran juara!
ii.
Rehat Sekadarnya
Begitu juga dengan anda kini. Rasanya semua usaha telah
dilakukan di tahap maksimum, apa salahnya kalau berehat sekejap? Boleh... tapi
jangan terlalu lama, sekadar cukup untuk mengelakkan tali yang terlalu tegang
daripada putus! Maknanya, sekadar memberi kerehatan yang sepatutnya pada diri
anda bagi mengekalkan kesihatan anda dan mengelakkan perkara tidak diingini
berlaku pada diri anda (jatuh sakit, tekanan mental – mohon dijauhkan). Berlaku
adillah pada diri anda dan hargailah diri anda sebagaimana sepatutnya. Usaha
gigih telah anda laburkan sehingga berjaya sampai ke tahap ini, kan? Ucaplah
tahniah kepada diri sendiri!
iii. Bijak Mengatur Temu Janji
Setelah membuat temu janji dengan penyelia dan pemeriksa
dalam dan pemeriksa luar anda, buat persediaan secukupnya sebelum berjumpa
dengan mereka. Bagi menjimatkan masa, teknologi juga boleh digunakan. Sekiranya
anda merupakan pelajar separuh masa yang tinggal jauh daripada institusi
pengajian anda, gunalah e-mail untuk berhubung. Namun ada juga penyelia atau
pemeriksa luar yang lebih mengutamakan perbincangan bersemuka. Lihatlah
kesesuaian dan keutamaan mereka dan cuba penuhinya. Ini memudahkan proses
menyiapkan tesis anda lantaran penerangan jelas secara bersemuka akan memberi
impak lebih baik. Di waktu ini juga anda tidak perlu berkira dengan kos, masa
dan tenaga yang perlu anda laburkan demi kejayaan peringkat akhir ini.
Pembetulan yang
perlu dibuat kadang-kadang boleh memaksa anda menghadiri sampai tiga kali
perjumpaan. Sekiranya pemeriksa anda merupakan individu yang sibuk, masalahnya
ialah dalam mengatur pertemuan. Kadang-kadang anda sampai ke tempat yang
dijanjikan setelah menempuh perjalanan beratus kilometer hanya mendapati
pemeriksa anda berada di tempat lain kerana menghadiri mesyuarat atau
konferens! Alangkah hampa dan kecewanya! Bersabarlah. Ini merupakan sebahagian
daripada ujian perjalanan intelek yang tidak akan dilalui oleh orang lain yang
tidak berpeluang merintis jalan ini. Tahap kesabaran anda betul-betul teruji!
Jangan berputus asa lantaran harga sebuah kejayaan juga terletak kepada
kesabaran dan ketabahan anda menghadapi ujian-ujian sebegini.
Sentiasa
beritahu diri anda bahawa pemeriksa anda juga merupakan manusia biasa yang
tidak sunyi dari kesilapan, lupa dan alpa. Sememangnya beliau tidak bermaksud
menyusahkan anda, tapi kadang-kadang beliau juga tersepit dengan komitmen lain
yang lebih penting dan perlu diberikan keutamaan. Percayalah, sekiranya anda
mampu mengamalkan sifat memaafkan, hatinya akan lembut dan beliau akan lebih
bersedia memberi kerjasama yang baik kepada anda pada pertemuan akan datang. Di
akhir perjalanan, kita akan semakin
menyedari kenapa orang menganggap makna Ph.D itu lebih utama kepada proses yang
dilalui, yang mampu membentuk keperibadian seseorang, daripada sekeping ijazah
yang diterima. Ini kerana sepanjang perjalanan, anda banyak belajar
perkara-perkara yang berupaya mematangkan diri anda bukan sahaja dari dari segi intelek, malah juga emosi. Secara tak
langsung, kemahiran interpersonal juga meningkat kerana anda terpaksa berhubung
dan berinteraksi dengan pelbagai individu profesional yang mempunyai pelbagai
gaya. Ini juga merupakan antara pengalaman yang amat berharga buat anda.
Manalah tau, melalui hubungan baik anda dengan mereka, berupaya membantu
kerjaya anda di masa depan.
Format
Tesis
Pada peringkat ini juga anda perlu membuat temu janji
dengan pegawai di Pusat Pengajian Siswazah (PPS) bagi memastikan tesis anda
mengikut format yang ditetapkan. Ini penting kerana selagi PPS tidak berpuas
hati, tesis anda tidak akan diperakui. Sekiranya anda tinggal jauh daripada
tempat pengajian anda, buatlah temu janji yang sesuai agar perjumpaan dengan
penyelia, pemeriksa dan pegawai PPS dapat disusun dalam tempoh masa yang sama.
Sekiranya anda pelajar separuh masa tanpa biasiswa, ini mampu menjimatkan masa,
kos dan tenaga. Begitu juga, sekiranya anda pelajar yang mendapat cuti bergaji
penuh dengan biasiwa, mungkin cuti anda sudah berakhir. Jadi, kebijaksanaan
mengurus masa amatlah penting.
Semasa
membuat pemurnian di peringkat ini, anda juga harus ingat bahawa tesis anda
nanti bakal dirujuk oleh pelajar-pelajar Ph.D yang akan membuat kajian di
bidang yang sama atau menggunakan metodologi yang sama. Justeru, pastikan anda
buat yang terbaik. Beri masa yang secukupnya untuk memastikan tiada kesilapan
pada tesis anda. Jika perlu, dapatkan bantuan individu yang dirasakan sesuai
untuk menyemak tesis anda, Ingat. Ini adalah tesis Ph.D. Harus berada pada
tahap cemerlang! Dan anda diberi peluang membuatnya sekali seumur hidup. Jadi,
saya ulangi: Buat yang terbaik!
Penjilidan
Tesis
Setelah tesis anda telah diperaku oleh PPS untuk
penjilidan, kenal pasti kedai yang dapat membuat penjilidan terbaik. Biasanya
PPS akan mencadangkan kedai tertentu yang sudah diakui kualitinya.
Sebaik-baiknya anda akur dengan cadangan PPS demi kebaikan. Ini kerana,
kemungkinan anda berupaya mendapat kedai yang menjanjikan kos yang lebih
rendah, tapi bagaimana dengan kualitinya? Ada kes pelajar Ph.D yang memilih
kedai yang menjanjikan kos yang rendah berbanding dengan kedai cadangan PPS
bagi menjimatkan kos lantaran terpaksa membuat penjilidan yang banyak (melebihi
10 naskah). Namun setelah semuanya siap, baru didapati kelemahan pada tesis
yang siap dijilid. Kualitinya sangat mengecewakan hingga ia terpaksa mengambil
keputusan membuat penjilidan semula di kedai cadangan PPS! Bayangkan kos yang
terpaksa ditanggung dengan penjilidan semula tersebut... Tentu anda tidak mahu
ini berlaku pada diri anda, kan? Oleh itu, janganlah terlalu berkira untuk
membayar demi jaminan kualiti. Ingatlah: Anda telah melalui perjalanan yang
”mahal” ini hanya sekali seumur hidup. Sesuatu yang ”mahal” memang menuntut
bayaran yang tinggi. Dengan lain perkataan, ”kualiti tidak boleh dibayar dengan
harga yang murah”. Jadi, eloklah diambil pengajaran dari pengalaman orang lain
untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak dan seterusnya mendapat
hasil yang memuaskan. Kata pujangga:”ukur dua kali, potong hanya sekali”.
Maknanya, kita berfikir beberapa kali dalam membuat sesuatu keputusan agar
tindakan yang diambil bijak, tepat, yakin dan tanpa penyesalan...
Naskhah
Akhir Tesis
Sekarang tesis anda sedia untuk dihantar ke institusi
anda – mungkin lima naskah. Selain daripada itu, anda perlu hantar ke EPRD,
Jabatan Pelajaran Negeri (syarat yang ditetapkan semasa memohon kebenaran
dahulu). Walau pun tiada siapa yang akan menyemak hal ini, tapi demi
memanfaatkan ilmu, keberkatan diri dan integriti anda, eloklah diserah secepat
mungkin. Anda juga mungkin bercadang membuat naskah tambahan untuk dihadiahkan
kepada organisasi tempat anda bertugas, mentor/motivator dan rakan-rakan
istimewa yang telah membantu memungkinkan kejayaan anda. Lebih banyak anda
memberi, lebih besar ganjaran Allah untuk anda, insya’-Allah. Walau bagaimana
pun, ini bergantung kepada keadaan kewangan anda. Tepuk dada, tanya iman!
Selepas
menyerahkan tesis kepada institusi anda (Fakulti dan PPS), lega tak terkira!
Apatah lagi bila diberitahu oleh PPS bahawa surat jemputan ke konvokesyen akan
menyusul kemudian! Antara saat manis untuk diingat dalam perjalanan intelek ini
... Konvokesyen PH.D!
INTISARI
...
- Penulisan peringkat ini:
Terserlahnya kesarjanaan seseorang pelajar
Perlu dibuat dengan berhati-hati.
Pemikiran perlu berada pada fokus yang paling tinggi
Baca keseluruhan bab, dapatkan gambaran keseluruhan
secara sepadu
Mesti dikaitkan dengan bab-bab sebelumnya
Interpretasi : dikaitkan dengan pernyataan masalah, persoalan
kajian dan objektif kajian
Dapatan kajian: perlu dikaitkan dengan tinjauan literatur
(teori dan kajian lepas yang berkaitan)
Biarkan penulisan untuk beberapa hari sebelum disemak - beri
kerehatan minda
membantu kecekapannya membuat semakan
- Minta kerjasama dari orang sekeliling anda: Nyatakan dengan jujur, telus dan ikhlas kepada mereka bantuan yang diperlukan : ” Masa untuk tidak diganggu”.
- Viva
Viva menguji, antaranya tiga perkara:
sama ada anda buat betul
buat betul-betul dan
betul-betul buat!
- Sebelum viva:
Persediaan untuk pembentangan:
Ø banyak
berlatih agar pembentangan lancar, intonasi yang sesuai dan menepati masa
(biasanya 20 minit).
Ø Latihan
untuk pembentangan:
Ø Gunakan
perakam suara dan dengar semula bagi memastikan akur dengan peruntukan masa
Ø Bersedia
untuk persembahan terbaik (excellent
performance)
Ø ramalkan
soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh pemeriksa
Ø bersedialah
dengan jawapannya pada slaid di bahagian akhir
Tingkatkan kecerdasan kerohanian:
Ø solat
taubat
Ø solat
hajat
Ø berzikir
secara berterusan
- jaga kesihatan sebaik mungkin: mental, fizikal dan emosi.
- Kesihatan fizikal: jaga pemakanan, senaman dan kesihatan
·
kesihatan emosi: tenangkan fikiran, kekalkan kemahiran
interpersonal
- jaga hubungan dengan orang di sekeliling
- Elakkan sebarang konflik yang boleh mengganggu emosi
- Kenal pasti individu-individu yang positif dan bermotivasi untuk berinteraksi
- Dapatkan panduan berguna dengan bertanya mereka yang telah berjaya
- Semasa viva:
datang awal supaya dapat bertenang.
Pastikan semua keperluan dibawa: tesis, komputer riba,
pen, pensil, kertas, ringkasan eksekutif, air mineral dan lain-lain yang dirasakan
perlu.
Semasa menunggu, bertenanglah. Jangan lupa berzikir
dan berselawat.
Anggaplah penilai-penilai sebagai pasukan yang akan
membantu mengesahkan kejayaan anda.
Semasa pembentangan
Ø tunjukkan
keyakinan nescaya anda akan diyakini
Ø pastikan
pembentangan anda menarik
Ø Keupayaan
membentang tesis dengan padat, tepat dan spesifik pada masa yang
ditetapkan merupakan antara kemahiran
profesional yang perlu anda kuasai sebagai seorang calon “Dr.”.
Beri respons yang baik kepada setiap persoalan dan
kritikan/cadangan
Soalan yang dikemukakan:
Ø menguji
sejauh mana keupayaan mempertahankan setiap hujah dalam tesis
Ø meminta
penjelasan lanjut terhadap apa yang ditulis
Ø meyakinkan
pemeriksa bahawa anda dan tesis anda layak diiktiraf untuk dianugerah Ph.D
Ø untuk
membuktikan anda betul-betul pakar dalam bidang kajian
Ø beri
jawapan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan
Ø beri
masa untuk diri anda berfikir sebelum menjawab
Ø pamerkan
keyakinan, kebijaksanaan dan penguasaan tesis yang mantap
Ø bagi
menyokong jawapan, kenal pasti rujukan utama yang digunakan dalam tesis - sebut
rujukan ini dengan yakin
Ø bertenang
dan bersikap terbuka - terima cadangan yang diberi dengan berhati-hati dan
bijak.
Ø jangan
menganggap setiap cadangan yang dikemukakan sebagai saranan untuk mengubah
tesis anda
Kekalkan ketenangan dalam diri
terus pamerkan keyakinan dan kebijaksanaan
kekalkan hubungan menegak anda – dengan Allah s.w.t.
- Selepas viva;
Hargai individu-individu yang hendak meraikan anda
penuhilah hasrat mereka - mereka juga ada hak untuk
diraikan
mereka biasanya merupakan orang-orang yang dekat dengan
anda dan membantu anda berjaya
- Jangan bertangguh – buat pemurnian tesis secepat mungkin
- Buat temujanji dengan penyelia dan pemeriksa dalam dan pemeriksa luar
- buat persediaan secukupnya sebelum berjumpa dengan mereka.
- Guna teknologi bagi menjimatkan masa – contohnya: email
- Lihatlah kesesuaian dan keutamaan mereka dan cuba penuhinya
- Jangan berkira dengan kos, masa dan tenaga
- Bersabarlah dengan karenah pemeriksa dalam dan luar
- Jangan berputus asa - harga sebuah kejayaan juga terletak kepada kesabaran dan ketabahan
- Ph.D: lebih utama - proses dilalui, berbanding dengan sekeping ijazah yang diterima.
- buatlah temu janji dengan bijak agar perjumpaan dengan penyelia, pemeriksa dan pegawai PPS dalam tempoh masa yang sama
- Pemurnian tesis:
Buat yang terbaik
tesis anda bakal dirujuk oleh pelajar-pelajar Ph.D
Beri masa yang secukupnya untuk memastikan tiada
kesilapan pada tesis
Jika perlu, dapatkan bantuan individu yang dirasakan sesuai
untuk menyemak tesis
Tesis Ph.D. harus berada pada tahap cemerlang!
Peluang membuatnya:
sekali seumur hidup
- kenal pasti kedai yang dapat membuat penjilidan terbaik.
- janganlah terlalu berkira untuk membayar demi jaminan kualiti
- Serahkan tesis kepada fakulti dan lain-lain institusi berkaitan demi memanfaatkan ilmu, keberkatan diri dan integriti
MasyaAllah.. sebuah penulisan dn coretan pengalaman yg bernilai.. jazakumullah khayran atas ilmu ini..amin
ReplyDelete