Wednesday, 19 August 2020

On-Line Dengan Pencipta

 

On-Line Dengan Pencipta

 

            Suatu ketika dahulu, penggunaan telefon juga amat terhad. Hanya orang-orang berada sahaja mampu memiliki telefon di rumah mereka. Awal 90-an, telefon bimbit mula digunakan. Juga, masa itu, hanya orang-orang yang berada sahaja mampu memilikinya. Namun kini, ianya sudah menjadi sesuatu yang biasa.

  Hampir semua memilikinya. Tidak kira usia, pekerjaan dan status sosial. Memiliki telefon bimbit dah seolah-olah satu kemestian terutama bagi generasi kini. Ke mana-mana pergi, tidak sempurna tanpa telefon di tangan. Segala maklumat dapat diperolehi hanya di hujung jari.

Nak tahu tentang apa? Semua ada. Nak berhubung dengan siapa, di mana sahaja semua boleh. Bukan sekadar bercakap, malah ada video call, boleh sampaikan apa sahaja maklumat melalui WhatsApps (wasap), Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Bukan sekadar hantar mesej berbentuk tulisan, tapi juga video dan audio. Masya’-Allah!!! Hebat sungguh perkembangan sains teknolgi dewasa ini!

             Impaknya, semua dapat on-line sahaja. Bukan sekadar berinteraksi dengan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai, pembelian pun boleh buat secara on-line. Gaya hidup yang tak lekang daripada telefon bimbit ini kadang-kadang mampu merenggangkan hubungan sesama insan. Apa tidaknya, saat berkumpul dalam keluarga, atau bersama rakan-rakan, masing-masing sibuk dengan telefon .

 Ya...selesa sungguh on-line. Hingga kadang-kadang terlupa keutamaan. Bukan sekadar ibu bapa, anak-anak atau sahabat yang ada bersama tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, malah Pencipta pun sanggup diketepikan. Contohnya, saat azan dikumandangkan, masih sibuk dengan wasap dan pelbagai aplikasi yang melalaikan.

Bersama telefon, masa berlalu amat pantas, tak terasa. Saat menuju ke sejadah untuk solat, kadang dah nak luput waktunya...Sedangkan itulah on-line yang perlu diutamakan – on-line dengan Pencipta. Lima kali setiap hari Allah menunggu pertemuan dengan setiap hamba-Nya yang mengaku beriman kepada-Nya, kepada hari Akhirat yang pasti datangnya...ada yang menamakan talian ini bernombor 24434, mengikut jumlah rakaat solat yang diwajibkan.

 Apa pun, sebenarnya on-line dengan Pencipta itu – setiap masa. Allah itu dekat. Allah sentiasa bersama kita: “... dan Dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.. (Surah Al-Hadid 57:4). Lima kali solat itu adalah yang wajib, tapi kita masih boleh on-line dengan-Nya saat kita perlu bantuan khusus: untuk memohon ditunjukkan pilihan yang tepat (Solat Istikharah), sesuatu hajat (Solat Hajat), diampuni dosa (Solat taubat) dan sebagainya.

 Solat itu merupakan saat kita “berbicara” dengan Allah – on-line dengan-Nya. Sekiranya kita ingin Allah berbicara denagn kita, boleh juga on-line. Bagaimana? Dengan mermbaca Al-Quran.

 Berbeza dengan on-line sesama insan yang terhad masanya, perlu pilih kesesuaian waktu untuk berinteraksi. Tapi, ajaibnya, on-line dengan Pencipta: setiap masa, detik dan ketika. Bukan setakat itu sahaja, tiada bil bulanan atau tahunan atau apa saja jenis bayaran yang dikenakan. Cuma, kalau kita inginkan ganjaran terbaik daripada-Nya, setiap aktiviti on-line kita itu disertai dengan keikhlasan, sifat kehambaan yang hakiki...

Kalau tidak mampu on-line dengan kaedah solat dan membaca Al-Quran, kita masih boleh pilih kaedah yang paling mudah. Apa dia? Berzikir kepadanya. Ya – mengingati secara lisan dan juga hati. Bertasbih. Bertahmid. Bertahlil. Merenung setiap kejadian – peristiwa yang berlaku atau melihat indahnya alam yang terbentang, semuanya dikaitkan dengan kehadiran-Nya. Itu juga on-line dengan-Nya. Mudah kan? Cuma, jangan lupa: modalnya:ikhlas!

 On-line dengan Pencipta juga amat istimewa lantaran ianya dapat dilaksanakan serentak saat kita on-line dengan manusia. Bagaimana? Saat berinteraksi dengan manusia, kita tidak lupa pada Allah. Masa berwasap, tularkanlah maklumat-maklumat yang baik, kongsikan berita-berita yang bermanfaat, berikan suntikan motivasi, kata-kata semangat dan mampu membantu orang lain sentiasa ingat Allah, on-line dengan Pencipta.

On-line dengan manusia, tidak akan terlaksana kalau telefon pintar itu kehabisan bateri. Bagi memastikan on-line tidak terganggu, power bank digunakan. On-line dengan Pencipta? Pun begitu. Ada masanya, kita off-line. Terutamanya kalau hati kita mati... kurang ilmu, kurang mujahadah, lalai untuk mengingati-Nya.

Sebagaimana kita sentiasa bersedia dengan power bank agar mampu on-line bila-bila masa sesama manusia, kekalkan keimanan kita agar hati sentiasa hidup dan mampu on-line dengan Pencipta, setiap masa. Itu lebih utama. Lantaran, bila-bila masa kita akan dipanggil untuk kembali kepada-Nya...

 Justeru, jangan sekali-kali lupa, leka dan dilekakan dengan alat perhubungan ciptaan manusia. Manfaatkan aplikasi teknologi dengan bijaksana, agar kita mampu membina hubungan baik sesama insan (habluminannas) tanpa menjejaskan hubungan kita dengan Pencipta (habluminallah). On-linelah sesama kita, tapi utamakan on-line yang kekal, bermanfaat dan jauh lebih bernilai ganjarannya: on-line dengan Pencipta...

 

2 comments:

  1. Masyaa Allah..bersamaNya tak pernah "connection failure" kita ajer yang "breakdown"

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita tak pernah sendiri, Allah sentiasa menemani...

      Delete