Showing posts with label Sains Menerusi Lensa Hati. Show all posts
Showing posts with label Sains Menerusi Lensa Hati. Show all posts

Wednesday, 19 August 2020

On-Line Dengan Pencipta

 

On-Line Dengan Pencipta

 

            Suatu ketika dahulu, penggunaan telefon juga amat terhad. Hanya orang-orang berada sahaja mampu memiliki telefon di rumah mereka. Awal 90-an, telefon bimbit mula digunakan. Juga, masa itu, hanya orang-orang yang berada sahaja mampu memilikinya. Namun kini, ianya sudah menjadi sesuatu yang biasa.

  Hampir semua memilikinya. Tidak kira usia, pekerjaan dan status sosial. Memiliki telefon bimbit dah seolah-olah satu kemestian terutama bagi generasi kini. Ke mana-mana pergi, tidak sempurna tanpa telefon di tangan. Segala maklumat dapat diperolehi hanya di hujung jari.

Nak tahu tentang apa? Semua ada. Nak berhubung dengan siapa, di mana sahaja semua boleh. Bukan sekadar bercakap, malah ada video call, boleh sampaikan apa sahaja maklumat melalui WhatsApps (wasap), Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Bukan sekadar hantar mesej berbentuk tulisan, tapi juga video dan audio. Masya’-Allah!!! Hebat sungguh perkembangan sains teknolgi dewasa ini!

             Impaknya, semua dapat on-line sahaja. Bukan sekadar berinteraksi dengan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai, pembelian pun boleh buat secara on-line. Gaya hidup yang tak lekang daripada telefon bimbit ini kadang-kadang mampu merenggangkan hubungan sesama insan. Apa tidaknya, saat berkumpul dalam keluarga, atau bersama rakan-rakan, masing-masing sibuk dengan telefon .

 Ya...selesa sungguh on-line. Hingga kadang-kadang terlupa keutamaan. Bukan sekadar ibu bapa, anak-anak atau sahabat yang ada bersama tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, malah Pencipta pun sanggup diketepikan. Contohnya, saat azan dikumandangkan, masih sibuk dengan wasap dan pelbagai aplikasi yang melalaikan.

Bersama telefon, masa berlalu amat pantas, tak terasa. Saat menuju ke sejadah untuk solat, kadang dah nak luput waktunya...Sedangkan itulah on-line yang perlu diutamakan – on-line dengan Pencipta. Lima kali setiap hari Allah menunggu pertemuan dengan setiap hamba-Nya yang mengaku beriman kepada-Nya, kepada hari Akhirat yang pasti datangnya...ada yang menamakan talian ini bernombor 24434, mengikut jumlah rakaat solat yang diwajibkan.

 Apa pun, sebenarnya on-line dengan Pencipta itu – setiap masa. Allah itu dekat. Allah sentiasa bersama kita: “... dan Dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.. (Surah Al-Hadid 57:4). Lima kali solat itu adalah yang wajib, tapi kita masih boleh on-line dengan-Nya saat kita perlu bantuan khusus: untuk memohon ditunjukkan pilihan yang tepat (Solat Istikharah), sesuatu hajat (Solat Hajat), diampuni dosa (Solat taubat) dan sebagainya.

 Solat itu merupakan saat kita “berbicara” dengan Allah – on-line dengan-Nya. Sekiranya kita ingin Allah berbicara denagn kita, boleh juga on-line. Bagaimana? Dengan mermbaca Al-Quran.

 Berbeza dengan on-line sesama insan yang terhad masanya, perlu pilih kesesuaian waktu untuk berinteraksi. Tapi, ajaibnya, on-line dengan Pencipta: setiap masa, detik dan ketika. Bukan setakat itu sahaja, tiada bil bulanan atau tahunan atau apa saja jenis bayaran yang dikenakan. Cuma, kalau kita inginkan ganjaran terbaik daripada-Nya, setiap aktiviti on-line kita itu disertai dengan keikhlasan, sifat kehambaan yang hakiki...

Kalau tidak mampu on-line dengan kaedah solat dan membaca Al-Quran, kita masih boleh pilih kaedah yang paling mudah. Apa dia? Berzikir kepadanya. Ya – mengingati secara lisan dan juga hati. Bertasbih. Bertahmid. Bertahlil. Merenung setiap kejadian – peristiwa yang berlaku atau melihat indahnya alam yang terbentang, semuanya dikaitkan dengan kehadiran-Nya. Itu juga on-line dengan-Nya. Mudah kan? Cuma, jangan lupa: modalnya:ikhlas!

 On-line dengan Pencipta juga amat istimewa lantaran ianya dapat dilaksanakan serentak saat kita on-line dengan manusia. Bagaimana? Saat berinteraksi dengan manusia, kita tidak lupa pada Allah. Masa berwasap, tularkanlah maklumat-maklumat yang baik, kongsikan berita-berita yang bermanfaat, berikan suntikan motivasi, kata-kata semangat dan mampu membantu orang lain sentiasa ingat Allah, on-line dengan Pencipta.

On-line dengan manusia, tidak akan terlaksana kalau telefon pintar itu kehabisan bateri. Bagi memastikan on-line tidak terganggu, power bank digunakan. On-line dengan Pencipta? Pun begitu. Ada masanya, kita off-line. Terutamanya kalau hati kita mati... kurang ilmu, kurang mujahadah, lalai untuk mengingati-Nya.

Sebagaimana kita sentiasa bersedia dengan power bank agar mampu on-line bila-bila masa sesama manusia, kekalkan keimanan kita agar hati sentiasa hidup dan mampu on-line dengan Pencipta, setiap masa. Itu lebih utama. Lantaran, bila-bila masa kita akan dipanggil untuk kembali kepada-Nya...

 Justeru, jangan sekali-kali lupa, leka dan dilekakan dengan alat perhubungan ciptaan manusia. Manfaatkan aplikasi teknologi dengan bijaksana, agar kita mampu membina hubungan baik sesama insan (habluminannas) tanpa menjejaskan hubungan kita dengan Pencipta (habluminallah). On-linelah sesama kita, tapi utamakan on-line yang kekal, bermanfaat dan jauh lebih bernilai ganjarannya: on-line dengan Pencipta...

 

Wednesday, 8 February 2017

Fahami Alam, Kenali Tuhan



SAINS DIFAHAMI, ALLAH DIYAKINI

 

Apakah yag tergambar di fikiran kita apabila disuakan dengan perkataan “Sains”? Pelbagai kan? Subjek yang susah semasa di sekolah. Sangat membosankan lantaran banyak perkara perlu dihafal. Menakutkan apabila berada di dalam makmal! Ini mungkin antara jawapannya.

 Lantas, tidak hairanlah, berdasarkan pengalaman saya mengajar di IPG dulu,  apabila pelajar atau peserta kursus diminta melakarkan gambaran seorang ahli sains menurut persepsi mereka, lukisan yang akan dihasilkan, secara umumnya ialah seorang yang memakai kot makmal dengan cermin mata tebal, rambut dan pakaian tak terurus dan rata-ratanya berkepala botak!

Kesannya? Ramai yang tidak sukakan subjek sains. Ini merupakan sesuatu yang menyedihkan lantaran mempelajari dan memahami sains itu sebenarnya antara tuntutan Allah melalui wahyu pertama yang disampaikan kepada Rsulullah s.aw. iaitu “IQRA”...Bacalah.

Sains merupakan penerokaan dan pengkajian tentang alam, yang terbentang luas di hadapan makhluk bernama manusia yang ditugaskan ke dunia sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba, perlu mengabdi diri kepada Allah. Sebagai khalifah, perlu memakmurkan alam. Justeru, Allah perlu dikenali dan diyakini. Alam perlu difahami.

Antara kaedahnya ialah melalui sains. Mengkaji sains juga boleh dianggap sebagai  pengkajian Kitab Manzurah (Alam)”. Dan mengkaji sains bukan sekadar hafalan fakta, konsep, hukum, teori dan prinsip semata-mata tapi perlu menjangkau lebih daripada itu agar apa yang dipelajari boleh diklasifikasikan sebagai ilmu.

Ini kerana, sesuatu maklumat itu akan dapat dikategorikan sebagai ilmu apabila ianya berupaya  mendatangkan makna kepada sesorang individu. Justeru, matlamat dalam pengkajian dan penerokaan sains, bukan sekadar mendapat maklumat, tapi sejauh mana maklumat itu mampu diproses oleh minda kita agar dapat memberi makna ke dalam diri, mencorak peribadi, dan paling utama, berupaya mendekatkan kita kepada Ilahi, Pencipta alam yang hakiki.

Sehubungan dengan itu, sumbangan sains seharusnya, bukan sekadar kemajuan teknologi bagi memudahkan kehidupan manusai, tapi penggunaan teknologi untuk memakmurkan bumi dalam rangka ibadah kepada Ilahi.

Dalam Al-Quran, banyak firman Allah yang menuntut manusia agar melihat alam bukan sekadar menerusi mata kasar, tetapi diiringi dengan mata hati. Hakikatnya, kita disarankan agar melihat penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya bukan sekadar untuk memahami, tetapi lebih penting, menyedari tentang kewujudan Pencipta Yang Maha Agung, Bijaksana, Pengasih dan Penyayang sebagaimana firman-Nya:



Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal iaitu orang yang berdiri, duduk dan berbaring serta memikirkan penciptaan Allah seraya berkata: Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(SurahAli ’Imran 3: 190-191)
            



 Allah meminta kita berfikir tentang segala penciptaan-Nya yang tidak sia-sia. Jadi, bila kita merenung alam, dari sekecil-kecilnya perkara (semut, nyamuk, rumput), hingga sebesar-besarnya (matahari, bulan, bintang, cakerawala dan galaksi), semuanya ada tujuan dalam penciptaan. Justeru, apa saja yang dikaji dan dipelajari, hakikatnya kita sedang mengkaji ciptaan Allah. Dan sebenarnya, samada kita sedar atau tidak, alam ini sentiasa berbicara tentang keagungan Penciptanya! 

            Justeru, sains kadang-kadang dirujuk sebagai sunatullah dan juga hukum alam. Ya...Hukum yang kekal tidak berubah seperti peredaran matahari dan bulan, kejadian empat musim, gerhana bulan dan matahari, siang dan malam dan pelbagai fenomena alam demi memastikan kelangsunagn hidupan di bumi.
Selain daripada itu, skop yang lebih kecil ialah kewujudan jirim dalam keadaan pepejal, cecair dan gas pada suhu-suhu tertentu, sifat-sifat masam, masin, manis dan pahit sesuatu makanan, kepelbagaian bahan untuk kegunaan manusia, penentuan kesihatan diri kita berdasarkan suhu badan, bentuk aerofoil yang membolehkan kapalterbang bergerak di angkasa raya dan sebagainya.

Alih pula perhatian pula pada diri sendiri: Allah juga menyiapkan tubuh badan kita dengan pelbagai sistem bagi membolehkan kita terus hidup dedngan sempurna – pernafasan, penghadaman, respirasi, perkumuhan, pembiakan dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, kita juga dibekalkan dengan sistem saraf dan sistem endokrin yang amat menakjubkan!

Apa saja di sekeliling kita adalah sains. Justeru, apa saja yang wujud merupakan bukti kewujudan Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Sebut saja apa jua bidang kehidupan: pertanian, pembinaan, pendidikan, pengangkutan, perubatan, perindustrian, semuanya melibatkan sains, melibatkan tangan Allah yang menguasainya. Manakala bidang sains yang khusus – fizik, kimia, biolgi, astronomi semuanya apabila dikaji menerusi matahati, kita akan terpegun dengan ketertiban yang terserlah dalam setiap penciptaan-Nya! 

Sains bukan sekadar ilmu yang perlu difahami, tapi juga proses yang perlu kita lalui untuk memahaminya. Lantaran untuk memahami ilmu, jalannya berliku, seiring dengan pengkajiannya, kita perlu hayati sifat-sifat tekun, sabar istiqamah dan sebagainya. Jadi, selain daripada ilmu, sains juga merupakan proses, sikap dan nilai-nilai murni yang perlu dihayati dalam kembara penerokaannya.

Namun, selain belajar tentang sains (alam), kita juga boleh belajar daripadanya. Mengambil ibrah dalam setiap penciptaan Allah Yang Maha Karya. Dalam setiap fenomena alam, terkandung pedoman yang boleh dihayati demi memperbaiki kualiti diri dan peribadi, dalam setiap hukum dan prinsip, terserlah ketertiban untuk diteladani agar hidup lebih bererti. Itulah realitinya seandai sains bukan sekadar difahami, tapi diteropong menerusi lensa hati.

Dengan mengkaji dan melihat bukan sekadar apa yang tersurat, tapi juga apa yang tersirat dalam setiap lukisan alam anugerah Allah buat kita yang bernama insan, kita akan menyedari akan keluasan rahmat-Nya dan keagungan  ciptaan-Nya. Sekaligus kita juga akan meyakini kehadiran-Nya. Justeru, jika sains difahami, menerusi lensa hati, natijahnya, Allah diyakini!