SAINS DIFAHAMI, ALLAH DIYAKINI
Apakah yag tergambar di fikiran
kita apabila disuakan dengan perkataan “Sains”? Pelbagai kan? Subjek yang susah
semasa di sekolah. Sangat membosankan lantaran banyak perkara perlu dihafal.
Menakutkan apabila berada di dalam makmal! Ini mungkin antara jawapannya.
Lantas, tidak hairanlah, berdasarkan
pengalaman saya mengajar di IPG dulu,
apabila pelajar atau peserta kursus diminta melakarkan gambaran seorang
ahli sains menurut persepsi mereka, lukisan yang akan dihasilkan, secara
umumnya ialah seorang yang memakai kot makmal dengan cermin mata tebal, rambut
dan pakaian tak terurus dan rata-ratanya berkepala botak!
Kesannya?
Ramai yang tidak sukakan subjek sains. Ini merupakan sesuatu yang menyedihkan
lantaran mempelajari dan memahami sains itu sebenarnya antara tuntutan Allah
melalui wahyu pertama yang disampaikan kepada Rsulullah s.aw. iaitu
“IQRA”...Bacalah.
Sains
merupakan penerokaan dan pengkajian tentang alam, yang terbentang luas di
hadapan makhluk bernama manusia yang ditugaskan ke dunia sebagai hamba dan
khalifah. Sebagai hamba, perlu mengabdi diri kepada Allah. Sebagai khalifah,
perlu memakmurkan alam. Justeru, Allah perlu dikenali dan diyakini. Alam perlu
difahami.
Antara
kaedahnya ialah melalui sains. Mengkaji sains juga boleh dianggap sebagai pengkajian “Kitab Manzurah (Alam)”. Dan mengkaji sains bukan sekadar
hafalan fakta, konsep, hukum, teori dan prinsip semata-mata tapi perlu
menjangkau lebih daripada itu agar apa yang dipelajari boleh diklasifikasikan
sebagai ilmu.
Ini kerana, sesuatu
maklumat itu akan dapat dikategorikan sebagai ilmu apabila ianya berupaya mendatangkan makna kepada sesorang individu.
Justeru, matlamat dalam pengkajian dan penerokaan sains, bukan sekadar mendapat
maklumat, tapi sejauh mana maklumat itu mampu diproses oleh minda kita agar
dapat memberi makna ke dalam diri, mencorak peribadi, dan paling utama,
berupaya mendekatkan kita kepada Ilahi, Pencipta alam yang hakiki.
Sehubungan dengan itu, sumbangan
sains seharusnya, bukan sekadar kemajuan teknologi bagi memudahkan kehidupan
manusai, tapi penggunaan teknologi untuk memakmurkan bumi dalam rangka ibadah
kepada Ilahi.
Dalam Al-Quran, banyak
firman Allah yang menuntut manusia agar melihat alam bukan sekadar menerusi
mata kasar, tetapi diiringi dengan mata hati. Hakikatnya, kita disarankan agar
melihat penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya bukan sekadar
untuk memahami, tetapi lebih penting, menyedari tentang kewujudan Pencipta Yang
Maha Agung, Bijaksana, Pengasih dan Penyayang sebagaimana firman-Nya:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih
pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal
iaitu orang yang berdiri, duduk dan berbaring serta memikirkan penciptaan Allah
seraya berkata: “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini
dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(SurahAli ’Imran 3: 190-191)
Allah meminta kita berfikir tentang segala penciptaan-Nya
yang tidak sia-sia. Jadi, bila kita merenung alam, dari sekecil-kecilnya
perkara (semut, nyamuk, rumput), hingga sebesar-besarnya (matahari, bulan,
bintang, cakerawala dan galaksi), semuanya ada tujuan dalam penciptaan.
Justeru, apa saja yang dikaji dan dipelajari, hakikatnya kita sedang mengkaji
ciptaan Allah. Dan sebenarnya, samada kita sedar atau tidak, alam ini sentiasa
berbicara tentang keagungan Penciptanya!
Justeru, sains kadang-kadang dirujuk sebagai sunatullah
dan juga hukum alam. Ya...Hukum yang kekal tidak berubah seperti peredaran
matahari dan bulan, kejadian empat musim, gerhana bulan dan matahari, siang dan
malam dan pelbagai fenomena alam demi memastikan kelangsunagn hidupan di bumi.
Selain daripada itu, skop
yang lebih kecil ialah kewujudan jirim dalam keadaan pepejal, cecair dan gas
pada suhu-suhu tertentu, sifat-sifat masam, masin, manis dan pahit sesuatu
makanan, kepelbagaian bahan untuk kegunaan manusia, penentuan kesihatan diri
kita berdasarkan suhu badan, bentuk aerofoil yang membolehkan kapalterbang
bergerak di angkasa raya dan sebagainya.
Alih pula perhatian pula
pada diri sendiri: Allah juga menyiapkan tubuh badan kita dengan pelbagai sistem
bagi membolehkan kita terus hidup dedngan sempurna – pernafasan, penghadaman,
respirasi, perkumuhan, pembiakan dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, kita
juga dibekalkan dengan sistem saraf dan sistem endokrin yang amat menakjubkan!
Apa saja di sekeliling
kita adalah sains. Justeru, apa saja yang wujud merupakan bukti kewujudan
Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Sebut saja apa jua bidang kehidupan:
pertanian, pembinaan, pendidikan, pengangkutan, perubatan, perindustrian,
semuanya melibatkan sains, melibatkan tangan Allah yang menguasainya. Manakala
bidang sains yang khusus – fizik, kimia, biolgi, astronomi semuanya apabila
dikaji menerusi matahati, kita akan terpegun dengan ketertiban yang terserlah
dalam setiap penciptaan-Nya!
Sains bukan sekadar ilmu
yang perlu difahami, tapi juga proses yang perlu kita lalui untuk memahaminya.
Lantaran untuk memahami ilmu, jalannya berliku, seiring dengan pengkajiannya,
kita perlu hayati sifat-sifat tekun, sabar istiqamah dan sebagainya. Jadi,
selain daripada ilmu, sains juga merupakan proses, sikap dan nilai-nilai murni
yang perlu dihayati dalam kembara penerokaannya.
Namun, selain belajar tentang
sains (alam), kita juga boleh belajar daripadanya. Mengambil ibrah dalam
setiap penciptaan Allah Yang Maha Karya. Dalam setiap fenomena alam, terkandung
pedoman yang boleh dihayati demi memperbaiki kualiti diri dan peribadi, dalam
setiap hukum dan prinsip, terserlah ketertiban untuk diteladani agar hidup
lebih bererti. Itulah realitinya seandai sains bukan sekadar difahami, tapi
diteropong menerusi lensa hati.
Dengan mengkaji dan
melihat bukan sekadar apa yang tersurat, tapi juga apa yang tersirat dalam
setiap lukisan alam anugerah Allah buat kita yang bernama insan, kita akan
menyedari akan keluasan rahmat-Nya dan keagungan ciptaan-Nya. Sekaligus kita juga akan
meyakini kehadiran-Nya. Justeru, jika sains difahami, menerusi lensa hati, natijahnya,
Allah diyakini!
No comments:
Post a Comment