Kenangan manis Khamis 23/2 masih menyirami
jiwa dg mesra…saat menghadiri majlis persaraan Sofi. Terbayang wajah2 sahabat2
yg disayang dan menyayangi. Kemesraan terasa, menyentuh jiwa saat kami
berpelukan…sata demi satu – dg aura yg sama! Terasa diri dihargai! Setiap wajah
mempamerkan keceriaan saat bersua. Keikhlasan, kasih sayang terpancar di setiap
wajah insan yg disantuni. Itulah nikmat – sahabat sejati. Terima kasih
atas anugerah-Mu ya Ilahi…
Selamat bersara sahabatku..moga lebih tenang, damai dan bahagia di usia persaraan...
Teringat...hampir 3 tahun yg lalu (Ah! Rasa macam baru saja berlalu!)...di sinilah juga saya diraikan oleh sebahagian kawan2 yg sama! Masa diminta berucap, pelbagai usaha dilakukan utk halang "emotional breakdown" - sbb kalua dah mula "hujan", payah ila nak reda. Lagi pun, tak menarik langsung bila lihat org usia emas menangis!!! Alhamdulillah...kekal tabah saat terpaksa berpisah!
Jom! kita kongsi idea2 berkaitan persaraan :
RETIRE DI USIA PERSARAAN
Persaraan, seperti juga memulakan kerjaya,
perlu persediaan mental dan emosi.
Apa maksudnya? Ya, kita perlu bersedia dan tahu
apa yang bakal kita lakukan apabila tiba masanya untu bersara. Saya tertarik
dengan idea seorang rakan berkaitan hal ini dengan menggunakan perkataan RETIRE itu sendiri. Justeru, Saya
kekalkan bahasa yang digunakan bagi mengekalkan keaslian dan intisarinya.
R – Read
E – Enjoy
T – Travel
I – Involve
R - Reflect
E – Excercise
1.
Read (Baca)
Sebagaimana wahyu pertama yang diturunkan kepada
Junjungan Besar Rasulullah s.a.w., umat Islam digalakkan untuk membaca bagi
mendapatkan ilmu.
Hambatan tugas yang rencam semasa dalam
perkhidmatan menyebabkan kita mempunyai masa yang amat terhad untuk membaca
bahan-bahan lain yang di luar bidang dan kita minati. Kadang-kadang apabila ke
kedai atau pesta buku, banyak buku-buku yang dibeli, tapi kekal tersusun indah
dalam almari tanpa berpeluang menyentuh kembali!
Sekarang, tibalah masanya! Kenal pasti kekurangan
diri yang perlu terus diperbaiki dengan mengamalkan budaya membaca terutama
Al-Quran (Tafsir dan terjemahan), hadis dan lain-lain bahan bacaan kesukaan
kita yang telah lama diidam-idamkan terutama yang boleh menyumbang kepada
pembangunan diri.
2.
Enjoy –
Nikmati
Apa yang hendak dinikmati? Banyak! Antaranya,
kurniaan masa lapang. Sekarang kita dianugerahkan masa yang berharga itu
sepenuhnya untuk disusun atur dengan jadual sendiri! Menarik bukan?
Mungkin selama ini kita terhalang daripada
melakukan hobi yang membahagiakan – membaca, menulis, berkebun dan lain-lain.
Nah! Sekarang sudah tiba masanya untuk kita nikmati itu semua.
Di
usia ini, biasanya anda sudah mempunyai anak-anak yang telah berjaya mencebur
diri di alam kerjaya. Dan tidak kurang juga dianugerahkan cucu-cucu comel
penyejuk mata. Nikmatilah dan syukuilah kesemuanya!
3.
Travel
– Melancung/mengembara
Semasa
berkhidmat, kita sangat teringin untuk melihat negara orang. Tapi, apakan daya,
kemampuan masa dan kewangan amat terbatas. Sempena persaraan, kita diberi
ganjaran yang bukan sedikit. Jika kesihatan mengizinkan, inilah masanya
merealisasikan impian menjejakkan kaki
ke negara orang yang belum kita lawati. Usah kedekut dengan diri
sendiri.
Mengembaralah
untuk melihat keagungan ciptaan Tuhan – iklim, warna kulit, bahasa, budaya,
kemajuan, persekitaran dan lain-lain yang berbeza dengan kita. Melancung ke
bumi anbiya’ (seperti Mesir, Jordan,Palestin dan lain-lain), selain daripada
mengerjakan umrah, juga berupaya menyuntik keinsafan akan kepayahan yang
dilalui oleh nabi-nabi, sahabat-sahabat dan orang-orang soleh terdahulu dalam
perjuangan meninggikan syiar Islam.
Pengembaraan-pengembaraan
seperti ini berupaya menyuntik motivasi kerohanian yang amat bermakna buat
kita.
4.
Involve
– libatkan diri
Lihat sekeliling. Dengan kepakaran
yang ada, mungkin anda boleh libatkan diri untuk aktiviti kemasyarakatan.
Ceramah motivasi, khidmat nasihat dan sumbangan di sekolah-sekolah yang
memerlukan. Juga, menyertai badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan
misi kemasyarakatan dan kemanusiaan peringkat negeri, kebangsaan atau
antarabangsa.
Cuba bina kehidupan dengan memberi. Ciptakan
kebahagiaan dengan membahagiakan orang lain!
5.
Reflect
– Refleksi
Refleksi atau muhasabah diri
merupakan antara aktiviti yang perlu diisi dalam kalendar hidup seorang mukmin.
Usia juga ibarat perjalanan dalam satu hari. Usia emas, ibarat usia senja dan
menghampiri malam. Sebagaimana refleksi yang dilakukan sebelum tidur di setiap
hari yang berlalu, itulah yang seharusnya dilakukan di usia senja.
Ambil
masa untuk merenung kembali setiap fasa kehidupan yang telah dilalui. Kenal
pasti setiap kesilapan yang telah kita lakukan dalam setiap peranan yang Allah
amanahkan sebagai ahli keluarga, pelajar, pendidik dll. Walau pun kita telah
cuba melakukan setiap tanggung jawab dengan sebaik mungkin, namun pasti ada
kelemahan di mana-mana.
Walau
pun kita cuba sebaik mungkin mematuhi tuntutan syariat, namun terkadang kita
tersilap langkah, tersalah arah dan terlupa akan misi kewujudan kita sebagai
hamba dan khalifah. Akuilah kesilapan kita di hadapan Allah. Mohonlah keampunan
daripada-Nya sebelum dosa-dosa kita ditayangkan di Padang Mahsyar di mana kita
sudah tidak mampu berbuat apa-apa.
Tidak
juga boleh menafikan kebenaran lantaran saksi-saksi di kala itu tidak dapat
dipertikaikan kewibawaannya – Allah sendiri, malaikat-malaikat pencatat di kiri
kanan dan anggota badan kita sendiri! Hebat sungguh pengadilan yang bakal kita
lalui... Dan ini adalah pasti lantaran setiap hari, sekurang-kurangnya kita
menyebut sebanyak 17 kali (dalam solat fardu 5 waktu) ... “Yang menguasai
Hari Pembalasan..” (Al-Fatihah 1: 3).
Inilah
masanya untuk kita cuba memadamkan semua titik-titik hitam yang mungkin
tercatat dalam dairi hidup kita. Istighfar. Solat taubat. Menyesali
sungguh-sungguh kesilapan yang lalu. Maklumlah. Di usia muda, darah panas dan
ilmu tak seberapa... Moga Allah bukan sekadar mengampuni dosa-dosa kita malah
menyayangi kita kerana “Allah menyayangi orang-orang yang bertaubat”.
6.
Excercise
- Senaman
Kesihatan anugerah Allah perlu dijaga sebaik
mungkin agar kita boleh terus berbakti dan memberi. Antara kaedahnya ialah
dengan melakukan senaman yang sesuai dengan usia kita pada masa yang sesuai.
Laburkan sedikit masa untuk senaman ringan (pagi
atau petang). Sebagaimana kita laburkan wang untuk keuntungan jangka panjang,
begitu juga pelaburan ini akan juga menguntungkan kerana kesihatan itu
kekayaan!
Sebagaimana
kita ada wawasan yang jelas sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, begitu
juga seharusnya, saat bermula usia persaraan. Seharusnya wawasan akhirat perlu
diperkasakan lagi lantaran usia ini sangat kritikal - bila-bila masa kita akan
dijemput untuk menghadap Ilahi. Antara yang dapat dilakukan ialah RETIRE...
No comments:
Post a Comment