Sunday, 5 March 2017

Saya jadi guru kerana...



SAYA JADI GURU KERANA...

“Dulu-dulu tak terdedah dengan banyak kerjaya, pilih cikgu je-lah...”Pn. Hana, berpengalaman 20 tahun sebagai guru dan 7 tahun pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG)

“Ikut kawan!” Pn. Ida, 12 tahun  sebagai guru dan 15 tahun, pensyarah IPG

“Emak suruh!”En. Khairul,  7 tahun sebagai guru sains sekolah menengah.

Catatan di atas merupakan antara jawapan yang diberi oleh individu-individu daripada warga pendidik. Namun, selain daripada itu, bila soalan yang sama dikemukakan kepada warga pendidik yang lain, pebagai jawapan pula yang akan kita perolehi. Bagi saya pula, bila difikirkan balik, ada dua sebab yag menjadikan saya sebagai seorang guru. Pertama, sebagimana Pn. Hana, kerana tidak terdedah dengan banyak kerjaya. Kedua, amanah Allahyarham ayah: “Pilihlah kerjaya yang memberi pulangan dunia dan akhirat: guru atau doktor”. Anda pula bagaimana? Walau apa pun jawapan yang diberi, saya boleh kategorikan semuanya  kepada tiga: pilihan, terpilih atau tiada pilihan lain! Namun, tidak kira anda di kategori yang mana, apabila disenaraikan  Allah menjadi warga pendidik, sebenarnya takdir ini perlu disyukuri.

            Semasa mula-mula menjadi guru hampir 33 tahun yang lalu, tugas dilaksanakan seperti diarahkan. Seronok dapat kerja, menikmati kebebasan kewangan, berpeluang memanfaatkan gaji untuk membantu keluarga serta melihat pelajar-pelajar berjaya. Di awal perkhidmatan, langsung tidak terfikir tentang keistimewaan seorang guru, lantaran ilmu yag cetek. Namun, sekarang apabila direnung kembali, terfikir tentang keutamaan mengajar dan mendidik. Guru - bukan sekadar pembekal maklumat, tapi pada masa yang sama, bertaggungjawab untuk menyemai nilai-nilai murni ke dalam diri anak didiknya. Bukankah ini tugas penting dan istimewa? Ini selari dengan tugas para rasul sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah (s.a.w): “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

            Kadang-kadang, sebagai seorang guru sains, contohnya, kita terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran, memastikan pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan, mengekalkan peratus kecemerlangan akademik sekolah, tanpa mengambil kira prestasi adab dan akhlak mereka. Atau kita serahkan saja tugas ini kepada ustaz dan ustazah.. Hal ini sama sekali tidak tepat. Ini kerana, semua ilmu datangnya daripada Allah, bersifat murni dan sarat nilai. Sekiranya kita mengambil sedikit inisiatif untuk mengajar dan pada masa yang sama, perihatin terhadap nilai-nilai yang boleh disepadukan dengan isi pelajaran, ini tentu akan menjadikan pengajaran kita lebih bermakna.

            Contohnya, kita megajar tentang tajuk “Hormon”. Diketahui bahawa hormon yang dirembeskan oleh sistem endokrin adalah dalam kuantiti yang secukupnya, tidak boleh terlebih atau terkurang sedikit pun, kerana ini akan menyebabkan masalah dari segi koordinasi kimia dalam badan. Kita boleh cetuskan kefahaman, kesedaran dan keyakinan dalam diri pelajar dengan mengemukan soalan-soalan seperti: “Siapakah yang mengatur semua ini?” “Berapa banyakkah tugas yang perlu dilakukan oleh pengatur ini?” “Macam mana sekiranya pengatur ini leka dalam tugasnya?”; serta pelbagai soalan yang akan membawa pelajar sedar akan keagungan Pencipta, sekaligus mendekatkan diri pelajar kepada-Nya.

            Apakah yang dapat membantu kita mendapatkan idea-idea mengintegrasikan isi kandungan dengan nilai-nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Jawapannya: Dengan mengamalkan budaya IQRA’  Bacalah. Wahyu pertama yag diturunkan kepada Rasulullah (s.a.w.). Apa yang perlu  dibaca? Kitabullah, iaitu kitab maqru’ah (dibaca) dan kitab manzurah (dilihat). Kitab maqru’ah merujuk khusus kepada Al-Qur’an. Namun, boleh juga kita masukkan kesemua ilmu yang ditulis (bercetak atau elektronik), selagi ilmu itu bermanfaat dan tidak bercanggah dengan syari’at lantaran semua ilmu bersumberkan Al-Qur’an.

            Kitab manzurah pula merujuk kepada pemerhatian kita secara tadabbur terhadap alam ciptaan Allah. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada alam – haiwan, tumbuhan dan juga manusia. Terlalu banyak contoh antaranya: sikap penakut seekor arnab, sikap sombong si burung helang, sikap sabar seekor gajah, keutamaan pokok yang tinggi megah mencakar langit dan sebagainya. Ilmu yang diperolehi daripada  kedua-dua kitabullah ini menjadi khazanah yang amat bermanfaat untuk dikongsikan dengan pelajar-pelajar kita.

            Mungkin ada yang bersungut: “Susahnya kalau macam tu – kena baca, kena fikir...”. Ya! Memang susah sekiranya kita telah meletakkan “susah” itu di awal sesuatu perancangan. Namun, sedar atau tidak, segala-gala yang berharga di mayapda ini tidak pernah muncul bergolek di hadapan kita! Untuk mendapatkan pasir, kita cuma perlu keluar rumah (di jalan, di halaman, di tepi pantai), tapi untuk mendapatkan intan permata, sudah tentu bukan semudah itu... Begitu juga dengan ilmu yang berguna, usaha gigih perlu dilakukan bagi mendapatkannya. Namun, percayalah, nun di hujung pencarian, “permata” itu akan diperolehi sesuai dengan usaha yang kita laburkan.

            Persoalan lagi: “Buat apa bersusah hanya kerana nak ajar satu tajuk – kena teroka bukulah... Kena perhati alamlah... Ajar sajalah... Cukup bulan dapat gaji juga!” Ini satu lagi “ayat beracun” yang tidak seharusnya wujud dalam kamus seorang guru kerana jelas menunjukkan kefahaman yang amat cetek tentang tugasnya. Guru begini akan mengajar dan seperti yang dijanjikan kepada semua penjawat awam, dapat gaji, tapi dia kerugian dari dua segi utama: kepuasan serta keseronokan mengajar dan keberkatan tugas sebagai satu ibadah.

            Kepuasan dan keseronokan dalam tugas, khususnya bagi seorang guru ialah apabila melihat proses P&P di dalam kelasnya berjaya, menarik, berkesan dan seterusnya berupaya menjana kejayaan cemerlang pelajar-pelajarnya. Guru yang melaksanakan tugas sambil lewa dan tanpa penghayatan tidak mungkin dapat menghasilkan kesan seperti ini. Sekiranya kita pergi ke mana-mana sekolah pun, guru seperti ini akan wujud. Dan kita dapat perhatikan wajahnya yang muram, tidak ceria dan bermasalah. Dari segi percakapan pula, sentiasa mengeluh, mengeluarkan kata-kata negatif, merungut, tidak puas hati, meremehkan daya usaha dan kreatviti guru-guru lain (khususnya guru-guru baru) dan sekaligus menjadi “parasit” kepada pihak sekolah. Seterusnya, tugas dianggap sebagai beban, membosankan dan dia sentiasa tertekan. Kesannya kehadiran ke kelas tidak disenangi pelajar dan dia juga sukar atau tidak mampu menyayangi pelajarnya. Bila keadaan ini berlaku, mampukah dia merasai ketenangan dan keseronokan bekerja?

            Keberkatan pula terhasil daripada melakukan tugas dalam rangka ibadah – mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Berkat keikhlasan ini, guru akan cuba mengaplikasi segala ilmu yang dipelajarinya, dengan cara yang terbaik, penuh keinsafan bahawa tugas adalah amanah. Setiap pelajar yang berdepan dengannya  membawa harapan daripada ibu bapa untuk melihat mereka berjaya. Ibu bapa yang terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki, sudah tentu akan bersyukur sekiranya guru berjaya mencorakkan anak mereka menjadi insan cemerlang.

            Di pihak guru pula, tidak perlu bimbang tentang penghargaan yang diberikan oleh guru besar, pengetua atau ibu bapa. Sekiranya tugas telah dilaksanakan dengan ikhlas, penghargaan Allah merupakan satu kepastian dan itulah ganjaran yang sebaik-baiknya kerana nilainya melebihi dunia dan isinya. Mengapa? Dengan penghargaan Allah inilah datangnya keberkatan yang mampu membuatkan hati merasa cukup dengan yang sedikit, tenang walau pun sehebat mana ujian yang melanda dan berupaya memanfaatkan ilmu apabila tiba masa ianya dperlukan.

            Keberkatan mengajar dan mendidik bukan terhenti setakat itu sahaja tetapi menjana pulangan yang tersangat lumayan. Ini kerana, sekiranya amalan baik yang diajar itu diikuti oleh pelajar, guru juga akan mendapat pahala yang sama tanpa dikurang sedikit pun. Jadi, bayangkan saham yang akan kita perolehi di akhirat sana sekiranya mendidik beratus-ratus atau beribu murid sepanjang kerjaya . Ya... antara amalan yang berkekalan walau pun kita sudah berada di alam sana: ilmu yang dimanfaatkan.
            Justeru, apa pun sebab kita menjadi guru, akurlah dengan ketentuan takdir kerana itulah yang terbaik untuk kita. Apabila tugas dilaksanakan dengan ikhlas, kerana Allah s.w.t, ketenangan dan keberkatan akan bertamu di setiap detik usia kita. Alangkah indahnya! Seterusnya kita akan dipimpin oleh Allah s.w.t. untuk membina semula generasi rabbani sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di zaman keagungan tamadun Islam, insya’-Allah.

Arkitek membina bangunan,
Jurutera membina jambatan,
Guru membina generasi...

Tahniah terbaik!



Saat jemu, letih dan lesu utk melakukan kebaikan ... bayangkan nanti – saat Rasulullah saw menyambut kita dg ucapan Tahniah!!!

Juga ucapan tahniah drp Raja Segala Raja - Allah Pencipta kita - lantaran kita telah berjaya dalam SPM (Sijil Padang Mahsyar)

Jom! lipatgandakan usaha utk jadi VVIP AKHIRAT!

Modal Utama




Apakah modal kita yg paling utama?

Ya...usia kita. Kenapa? Kerana dg adanya usia kita mampu mencari sebanyak mungkin bekalan utk kebahagiaan hakiki – di akhirat nanti, kekal abadi...bahagia di sisi Ilahi...Insya’-Allah.

Hidup di dunia ini tersangat singkat. Setiap org tersangat sibuk. Tugas yg perlu dipikul dirasakan melebihi masa yg ada...keluarga, kerjaya, masyarakat dsbnya. Namun sesibuk mana pun kita, harus sentiasa mengingati diri agar MENGUTAMAKAN YG UTAMA. Buatlah apa saja, tapi pastikan apa yg dibuat di sini, akan berguna di sana. Jadilah org bijakSANA.

Dlm apa tugas, niatkan kerana Alah, seikhlas hati. Nanti, apa yg dibuat itu akan dicatat sebagai bekalan ... kita seolah2 kirim segalanya itu ke PEJABAT POS Allah. Bila akan diterima”? Ya... Bila kita sudah dijemput utk kembali ke negara kekal – kg akhirat. Di sana ada hanya dua kewarganegaraan: SYURGA atau NERAKA. 

Siapa yg pilih? Kita! 

Di mana? Di sini!

 Berapa lama lagi masa yg tinggal? Tak pasti – mungkin 10 tahun lagi. Atau 5 tahun. Atau 5 bulan. Atau 5 hari. Atau lepas ini...

Jom! Kita lipatgandakan usaha utk jadi org yg benar2 beruntung... di sini dan di sana. Buat segala yg baik. Niatkan kerana Allah. Saat terasa penat, jemu dan malas – bayangkan betapa indahnya saat kita melangkah masuk ke syurga disambut dg kalimah salam – bukan dari maharaja...malah dari Raja Segala Raja...Tuhan sekelian alam!

Justeru, tidak hairanlah, Rasulullah saw bersabda: “Orang paling bijak ialah org yg sentiasa ingat kematian – dan bersedia utknya”

Wednesday, 1 March 2017

Luka Zahir vs Luka Batin



Sedang memotong buah, terhiris tangan. Aduh!!! Sakitnya. Air mata menitis saat melihat darah mengalir keluar ke atas buah yang sudah dipotong. Apa nak buat? Cari...Cari...Cari... First Aid Kit...Ubat luka. Kapas pembalut. Sakit...Sakit...Sakit...

Untuk berapa lama sakit itu? Ya...Mungkin sehari. Dua hari. Seminggu. Atau sebulan. Bergantung kepada dalam atau seriusnya luka tersebut. Kalau yang menghidap diabetes, kesannya mungkin lebih parah lagi...

Apa pun, luka itu mengambil masa untuk sembuh. Jadi, berikhtiar dan berilah dia masa. Air mata yang berderai jatuh itu juga merupakan satu fitrah – anugerah Allah yang kadang2 mampu melegakan persaan, walau pun tidak mampu melenyapkan kesakitan. Biarkan dia mengalir secukupnya. Tak perlulah ditahan. Bimbang akan menambah kesakitan. Lagi pun, kita tak perlu bayar untuk setiap titisan!

Itu senario luka zahir. Bagaimana dengan luka batin (jiwa,emosi, persaan)... dek pelbagai sebab. Sama juga kaedahnya. Semakin dalam lukanya, semakin lama masa diambil utk sembuh. Semakin banyak air mata yg akan jatuh ...

Masa lama? Sabarlah. Akan tiba masa ianya akan sembuh. Air mata? Biarlah. Tidak selamanya kita akan menangis! Namun, berilah masa untuk sembuh. Jangan terlalu terburu2. Bersabarlah. Mungkin luka itu satu cara Allah ingin menghadiahkan jiwa yng lebih kuat, mantap dan sekaligus mendewasakan kita agar lebih bijak dan berhati2 dalam menghadapi sepak terajang hidup!

Setiap pengalaman yang di lalui, ambillah pengajaran dan iktibar daripadanya. Kalau tidak, ianya akan berlalu begitu sahaja, seiring peredaran siang dan malam...

Beruang dan Petani



Terkesan dengan cerita seorang petani dengan beruang (dari Radio IKIM)...

Suatu hari, petani telah membantu beruang yang terkena jerat. Dek terhutang budi, beruang telah bersetuju membalas jasa petani dengan menjadi kawan baik.

Maka berkawan baiklah mereka.

Satu ketika, dalam pengembaraan, petani letih dan minta izin untuk tidur.. Dia meminta beruang menjaganya daripada sebarang musuh. Beruang pun setuju.

Seketika kemudian, seekor nyamuk hinggap di muka si petani. Memandangkan hal itu, beruang merasakan nyamuk itu merbahaya. Lalu, dia memukul nyamuk yang hinggap atas kepala petani. Tanpa disedari, pukulan itu merupakan pukulan maut...kerana dia beruang! Maka, matilah petani tersebut, hanya kerana rakannya, si beruang yang cuba menolongnya daripada gigitan nyamuk.

Iktibar cerita...

Kita jangan terlalu percayakan seorang kawan yang TIADA ILMU kerana kadang2 kalau dia cuba membantu, namun tanpa ilmu, dia boleh membuntu! Paling parah, boleh memusnahkan hidup kita!
Kita juga ada pengalaman demikian kan?  Justeru, berhati2lah dalam memilih kawan – apatah lagi saat ingin memohon bantuan, nasihat serta buah fikiran..

Berilah nasihat



Teringat - Suatu ketika..akhir.tahun 1980-an..

Aku sangat sedih dengan sikap seorang rakan guru. Tanpa disedari, “termenangis” di dalam bilik guru! Semua terkejut...Seorang rakan, datang memujuk. Ingat lagi kata2nya (walau pun sudah 24 tahun berlalu!)

“Ya... sedih kan. Tak apalahl. Itu merupakan antara benda kita kena terima, bersama dengan gaji kita setiap bulan!”

Ku pandang wajah kawan tersebut. Keikhlasan terlukis di wajahnya. Dia kawan biasa sahaja, bukan tergolong dalam senarai “kawan baik” pun. Masa ucapan itu ku dengar, ku biarkan saja...

Namun, apa yang disebutkan itu amat memberi kesan. Tetap ku ingat sampai sekarang.

Pengajaran yang ku dapat ialah pertama: Jangan mengharapkan gaji setiap bulan itu dapat diperolehi hanya dengan penat lelah badan..mengajar, membuat persediaan, memeriksa buku, mengendalikan pengajaran – di bilik darjah, dalam makmal dll. Tapi, seiring dg itu, gaji juga dibayar atas penat lelah jiwa kita dlm menghadapi pelbagai karenah manusia!

Pengajaran kedua: Dalam hidup kita, cubalah memberi kata2 nasihat yg baik. Jangan bimbang kalau kata2 nasihat kita itu seolah2 tidak dipedulikan masa itu. Kita tak tahu, mungkin akan tiba masanya, nasihat itu akan jadi berguna buat mereka. Juga, berilah nasihat berguna tanpa mengira siapa...anggapkan mereka saudara kita. Nasihat ikhlas, insya’-Allah akan berbekas!

Kita pun kadang2 sama...masa ibu/ayah beri nasihat, kita seolah2  tidak peduli dan menganggap ianya cuma leteran. Namun, saat dewasa barulah tersedar betapa bergunanya nasihat drp org yg berpengalaman, apatah lagi yg menyayangi kita tanpa syarat...