SAYA JADI GURU KERANA...
“Dulu-dulu tak
terdedah dengan banyak kerjaya, pilih cikgu je-lah...”Pn. Hana, berpengalaman
20 tahun sebagai guru dan 7 tahun pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG)
“Ikut kawan!” Pn.
Ida, 12 tahun sebagai guru dan 15 tahun,
pensyarah IPG
“Emak suruh!”En.
Khairul, 7 tahun sebagai guru sains
sekolah menengah.
Catatan di atas
merupakan antara jawapan yang diberi oleh individu-individu daripada warga
pendidik. Namun, selain daripada itu, bila soalan yang sama dikemukakan kepada
warga pendidik yang lain, pebagai jawapan pula yang akan kita perolehi. Bagi
saya pula, bila difikirkan balik, ada dua sebab yag menjadikan saya sebagai
seorang guru. Pertama, sebagimana Pn. Hana, kerana tidak terdedah dengan banyak
kerjaya. Kedua, amanah Allahyarham ayah: “Pilihlah kerjaya yang memberi
pulangan dunia dan akhirat: guru atau doktor”. Anda pula bagaimana? Walau apa
pun jawapan yang diberi, saya boleh kategorikan semuanya kepada tiga: pilihan, terpilih atau tiada
pilihan lain! Namun, tidak kira anda di kategori yang mana, apabila
disenaraikan Allah menjadi warga
pendidik, sebenarnya takdir ini perlu disyukuri.
Semasa mula-mula menjadi guru hampir
33 tahun yang lalu, tugas dilaksanakan seperti diarahkan. Seronok dapat kerja,
menikmati kebebasan kewangan, berpeluang memanfaatkan gaji untuk membantu
keluarga serta melihat pelajar-pelajar berjaya. Di awal perkhidmatan, langsung
tidak terfikir tentang keistimewaan seorang guru, lantaran ilmu yag cetek.
Namun, sekarang apabila direnung kembali, terfikir tentang keutamaan mengajar
dan mendidik. Guru - bukan sekadar pembekal maklumat, tapi pada masa yang sama,
bertaggungjawab untuk menyemai nilai-nilai murni ke dalam diri anak didiknya.
Bukankah ini tugas penting dan istimewa? Ini selari dengan tugas para rasul
sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah (s.a.w): “Sesungguhnya aku
diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Kadang-kadang, sebagai seorang guru
sains, contohnya, kita terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran,
memastikan pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan, mengekalkan peratus
kecemerlangan akademik sekolah, tanpa mengambil kira prestasi adab dan akhlak
mereka. Atau kita serahkan saja tugas ini kepada ustaz dan ustazah.. Hal ini
sama sekali tidak tepat. Ini kerana, semua ilmu datangnya daripada Allah,
bersifat murni dan sarat nilai. Sekiranya kita mengambil sedikit inisiatif
untuk mengajar dan pada masa yang sama, perihatin terhadap nilai-nilai yang
boleh disepadukan dengan isi pelajaran, ini tentu akan menjadikan pengajaran
kita lebih bermakna.
Contohnya, kita megajar tentang
tajuk “Hormon”. Diketahui bahawa hormon yang dirembeskan oleh sistem endokrin
adalah dalam kuantiti yang secukupnya, tidak boleh terlebih atau terkurang
sedikit pun, kerana ini akan menyebabkan masalah dari segi koordinasi kimia
dalam badan. Kita boleh cetuskan kefahaman, kesedaran dan keyakinan dalam diri
pelajar dengan mengemukan soalan-soalan seperti: “Siapakah yang mengatur semua
ini?” “Berapa banyakkah tugas yang perlu dilakukan oleh pengatur ini?” “Macam
mana sekiranya pengatur ini leka dalam tugasnya?”; serta pelbagai soalan yang
akan membawa pelajar sedar akan keagungan Pencipta, sekaligus mendekatkan diri
pelajar kepada-Nya.
Apakah yang dapat membantu kita
mendapatkan idea-idea mengintegrasikan isi kandungan dengan nilai-nilai dalam
proses pengajaran dan pembelajaran? Jawapannya: Dengan mengamalkan budaya
IQRA’ Bacalah. Wahyu pertama yag
diturunkan kepada Rasulullah (s.a.w.). Apa yang perlu dibaca? Kitabullah, iaitu kitab maqru’ah
(dibaca) dan kitab manzurah (dilihat). Kitab maqru’ah merujuk khusus kepada
Al-Qur’an. Namun, boleh juga kita masukkan kesemua ilmu yang ditulis (bercetak
atau elektronik), selagi ilmu itu bermanfaat dan tidak bercanggah dengan
syari’at lantaran semua ilmu bersumberkan Al-Qur’an.
Kitab manzurah pula merujuk kepada
pemerhatian kita secara tadabbur terhadap alam ciptaan Allah. Banyak perkara
yang boleh kita pelajari daripada alam – haiwan, tumbuhan dan juga manusia.
Terlalu banyak contoh antaranya: sikap penakut seekor arnab, sikap sombong si
burung helang, sikap sabar seekor gajah, keutamaan pokok yang tinggi megah
mencakar langit dan sebagainya. Ilmu yang diperolehi daripada kedua-dua kitabullah ini menjadi khazanah
yang amat bermanfaat untuk dikongsikan dengan pelajar-pelajar kita.
Mungkin ada yang bersungut:
“Susahnya kalau macam tu – kena baca, kena fikir...”. Ya! Memang susah
sekiranya kita telah meletakkan “susah” itu di awal sesuatu perancangan. Namun,
sedar atau tidak, segala-gala yang berharga di mayapda ini tidak pernah muncul
bergolek di hadapan kita! Untuk mendapatkan pasir, kita cuma perlu keluar rumah
(di jalan, di halaman, di tepi pantai), tapi untuk mendapatkan intan permata,
sudah tentu bukan semudah itu... Begitu juga dengan ilmu yang berguna, usaha
gigih perlu dilakukan bagi mendapatkannya. Namun, percayalah, nun di hujung
pencarian, “permata” itu akan diperolehi sesuai dengan usaha yang kita
laburkan.
Persoalan lagi: “Buat apa bersusah
hanya kerana nak ajar satu tajuk – kena teroka bukulah... Kena perhati
alamlah... Ajar sajalah... Cukup bulan dapat gaji juga!” Ini satu lagi “ayat
beracun” yang tidak seharusnya wujud dalam kamus seorang guru kerana jelas
menunjukkan kefahaman yang amat cetek tentang tugasnya. Guru begini akan mengajar
dan seperti yang dijanjikan kepada semua penjawat awam, dapat gaji, tapi dia
kerugian dari dua segi utama: kepuasan serta keseronokan mengajar dan
keberkatan tugas sebagai satu ibadah.
Kepuasan dan keseronokan dalam
tugas, khususnya bagi seorang guru ialah apabila melihat proses P&P di
dalam kelasnya berjaya, menarik, berkesan dan seterusnya berupaya menjana
kejayaan cemerlang pelajar-pelajarnya. Guru yang melaksanakan tugas sambil lewa
dan tanpa penghayatan tidak mungkin dapat menghasilkan kesan seperti ini.
Sekiranya kita pergi ke mana-mana sekolah pun, guru seperti ini akan wujud. Dan
kita dapat perhatikan wajahnya yang muram, tidak ceria dan bermasalah. Dari
segi percakapan pula, sentiasa mengeluh, mengeluarkan kata-kata negatif,
merungut, tidak puas hati, meremehkan daya usaha dan kreatviti guru-guru lain
(khususnya guru-guru baru) dan sekaligus menjadi “parasit” kepada pihak
sekolah. Seterusnya, tugas dianggap sebagai beban, membosankan dan dia sentiasa
tertekan. Kesannya kehadiran ke kelas tidak disenangi pelajar dan dia juga
sukar atau tidak mampu menyayangi pelajarnya. Bila keadaan ini berlaku,
mampukah dia merasai ketenangan dan keseronokan bekerja?
Keberkatan pula terhasil daripada
melakukan tugas dalam rangka ibadah – mengharapkan keredaan Allah s.w.t.
semata-mata. Berkat keikhlasan ini, guru akan cuba mengaplikasi segala ilmu
yang dipelajarinya, dengan cara yang terbaik, penuh keinsafan bahawa tugas
adalah amanah. Setiap pelajar yang berdepan dengannya membawa harapan daripada ibu bapa untuk
melihat mereka berjaya. Ibu bapa yang terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki,
sudah tentu akan bersyukur sekiranya guru berjaya mencorakkan anak mereka
menjadi insan cemerlang.
Di pihak guru pula, tidak perlu
bimbang tentang penghargaan yang diberikan oleh guru besar, pengetua atau ibu
bapa. Sekiranya tugas telah dilaksanakan dengan ikhlas, penghargaan Allah
merupakan satu kepastian dan itulah ganjaran yang sebaik-baiknya kerana
nilainya melebihi dunia dan isinya. Mengapa? Dengan penghargaan Allah inilah
datangnya keberkatan yang mampu membuatkan hati merasa cukup dengan yang
sedikit, tenang walau pun sehebat mana ujian yang melanda dan berupaya
memanfaatkan ilmu apabila tiba masa ianya dperlukan.
Keberkatan mengajar dan mendidik
bukan terhenti setakat itu sahaja tetapi menjana pulangan yang tersangat
lumayan. Ini kerana, sekiranya amalan baik yang diajar itu diikuti oleh
pelajar, guru juga akan mendapat pahala yang sama tanpa dikurang sedikit pun.
Jadi, bayangkan saham yang akan kita perolehi di akhirat sana sekiranya
mendidik beratus-ratus atau beribu murid sepanjang kerjaya . Ya... antara
amalan yang berkekalan walau pun kita sudah berada di alam sana: ilmu yang
dimanfaatkan.
Justeru, apa pun sebab kita menjadi
guru, akurlah dengan ketentuan takdir kerana itulah yang terbaik untuk kita.
Apabila tugas dilaksanakan dengan ikhlas, kerana Allah s.w.t, ketenangan dan
keberkatan akan bertamu di setiap detik usia kita. Alangkah indahnya!
Seterusnya kita akan dipimpin oleh Allah s.w.t. untuk membina semula generasi
rabbani sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di
zaman keagungan tamadun Islam, insya’-Allah.
Arkitek membina bangunan,
Jurutera membina jambatan,
Guru membina generasi...
No comments:
Post a Comment