Wednesday, 22 March 2017

Tips Tetamu Allah



Anda dijemput menjadi Tetamu Allah? Tahniah!!!

Jom! Kongsi sedikit pengalaman yg boleh sedikit sebanyak menjadikan Umrah/Haji anda lebih bermakna...

1. Persediaan Rohani 

Persediaan paling penting, selain fizikal, mental dan kewangan ialah persediaan ROHANI. Mantapkan ilmu. Lazimi rutin yg baik terutama solat berjemaah di awal waktu. Berbaik sangka sesama saudara se-Islam. Juga berbaik sangka dg Allah. Anggaplah diri anda sudah berada di Tanah Suci. Buatlah apa yg sepatutnya. Ini kerana, apabila kita ke sana, kita membawa personaliti semasa kita di tanah air. Kalau berat nak ke masjid, itulah juga yg akan dirasakan semasa berada di sana.

Kalau selalau suka bergaduh, bermasam muka, berburuk sangka, sama juga. Kesannya, kita akan jadi tetamu yg tidak begitu disenangi oleh Tuan Rumah, Pemilik kaabah... Jadi, jaga solat, lantaran ianya merupakan perintah utama – di awal waktu dan sentiasa cuba buat yg terbaik.Jaga hati, lantaran di situlah jatuhnya pandangan Ilahi. Bila? Bermula dari sini lagi! Latih. Latih. Dan latih. Jangan jemu dan letih! Biar letih di sini, mudah nanti di sana.  Alah bisa, tegal biasa! Mula2 susah, tapi bila dah biasa, senang saja rupanya!

Bercita2 nak berubah apabila di sana tentu merugikan kerana masa kita tak lama. Baru saja dapat beramal dg sempurna, dah nak balik! Jadi, mula dari sini. Sungguh2!!! Bayangkan kita nak jadi Tetamu Allah, biarlah kita diterima penuh mulia, lantaran ibadah sempurna serta akhlak kita mulia!

2.  Masalah Rambut Keluar (Wanita)

Satu ketika dulu, saya menghadapi masalah – rambut sentiasa keluar apabila terlalu lama berada di dalam masjid. Minta org sebelah tolong tenguk bila tiba masa solat. Kadang2 yg berada di sebelah pun nak cepat. Org lain (bangsa asing) biasanya tak faham kalau kita minta tolong perkara spt ini. Apa tidaknya, bagi mereka rambut keluar tu seolah2 tak apa. Mazhab berbeza2. Akhirnya saya dapat satu jalan keluar:Ya – bawa cermin kecil dalam beg galas kita tu! Selesai masalah. Tak perlu bergantung pada sapa2 lagi! Jadi, bagi jemaah wanita, jgn lupa: bawa cermin.

3. Tak Perlu Bawa Al-Quran ke mana2

Membawa Al-Quran utk dibaca – amalan mula2 ke Tanah Suci tahun 1990-an dulu. Namun, masalah banyak timbul. Kadang2 wudhu’  terbatal, nak ke bilik air. Macam mana dg mushaf ni? Kadang2, sedang kita solat, mushaf diletak atas beg di depan kita. Datang pula hamba Allah..langkah atau pijak!!!Terguris rasa. Terganggu juga khusyuk seketika. Bagaimana ya? Terpandang...mushaf dibekalkan di setiap ruang masjid. Banyak. Jadi, guna yg dah ada tu. Bawa satu buku nota kecil. Dah nak berhenti mengaji, catatkan saja mukasurat dan surah beserta ayat terakhir yg dibaca (contonya:  An-Nisa’:135 m/s 102).  Jadi bila nak mula kembali, rujuk saja buku nota tu. Oooo...Jadi tak perlu bawa Al-Quran ke sana sini. Mudah kan?


4. Bawa Buku Nota Kecil

Buku nota kecil (jgn lupa bawa pen bersama!) itu pula, selain drp mencatatkan maklumat bacaan Al-Quran kita juga amat berguna rupanya. Contoh: kita teringat apa2 yg penting..boleh tulis terus. Ilham penulisan. Pun sama. Kadang2 terjumpa rakan yg dah terpisah berpuluh tahun (di Tanah Suci, pelbagai keajaiban terjadi!). Nak nombor  utk dihubungi. Ah! H/fon tak bawa pula...Nasib baik ada buku nota ni...boleh catitkan maklumat sahabat tu! Kalau beli buku nota kecil dan pen, belilah lebih sikit – boleh hadiahkan pada rakan yg lain juga.

5. Semaunya Saudara Kita

Terkadang mendidih juga darah lantaran perlakuan kasar, kurang sopan dan dirasakan tak sepatutnya drp jemaah lain, terutama dari bangsa lain. Maklumlah, budaya berbeza. Caranya? Anggapkan semua yg berada di Tanah Suci itu sebagai saudara kita. Ibu, ayah, nenek, datuk, abang, adik dll. Mereka bukan org lain.

Satu ketika, sedang menunggu giliran nak ambil air zam-zam, seorang Afrika potong barisan. Saya pujuk hati. “Oh! Adikku, nak cepat agaknya dia...” Lantas senyuman dilemparkan padanya. Sejurus, suasana tegang menjadi mesra. Dia tersenyum, kembali. Di wajah terselit perasaan bersalah atas perlakuannya sebentar tadi. Rupanya, aura positif akan menjana aura positif juga! Jadi, kawal marah – beri maaf pada saudara kita. Hasilnya? Sungguh tak terduga!

6. Tolong Sekadarnya

Tolonglah Tetamu Allah yg lain, apabila berkesempatan. Allah sentiasa memerhati. Sekecil mana pun kebaikan diberi, ganjaran berlipatganda di Tanah Suci. Namun, tetaplah dg niat ke sana utk melaksanakan umrah atau haji, bukan utk menolong semata2...kerana apa yg terjadi di sana adalah berdasarkan  niat kita.


7. Minimakan Membeli-belah

Elakkan masa terbuang kerana membeli-belah. Masa kita di sana AMAT terhad. Barangan yg dijual, sama juga dg apa yg ada di tanah air. Belilah sekadar yg perlu sahaja. Buah tangan utk dibawa pulang, contohnya. Membeli di perjalanan balik dari masjid ke hotel juga merupakan cara yg boleh menjimatkan masa. Tak perlu tetapkan masa khas utk keluar membeli-belah. Rugi begitu.

Juga, seboleh2nya selesaikan urusan membeli belah di Madinah. Ini kerana, bila di Mekah, kita agak sibuk , terutama utk lakukan umrah. Selain drp itu, barangan di Madinah juga sama (kadang2 lebih baik) berbanding dg di Mekah. Begitu juga dg penjualnya. Kalau urusan membeli-belah dah selesai di Madinah, kita dah senang hati bila ke Mekah nanti.

Oh...Bagaimana pula kalau kita ke Mekah dulu? Tak apa. Sama juga caranya. Cuma, kalau ada barangan yg sgt berkenan di hati, dah mudah utk dibeli, beli saja lah. Cuma utamakan masa utk beribadah semasa di sana.

8. Rebut Peluang Bersedekah

Semasa di sana juga, rebut peluang utk bersedekah...terutama pada pencuci (cleaner) Haramain...baju biru (lelaki) dan merah (wanita) di Mekah; dan baju berwarna coklat di Madinah. Kalau dululah. Mungkin sekarang pun masih sama. Tapi, kalau wang tak mencukupi, harus berhati2... jangan pulak beri di tempat mereka ramai sebab kalau diberi pada seorang, yg lain akan menyerbu! Sedih wajah yg tak dapat  tu...

9. Tersesat..

Tersesat? Tak jumpa pintu nak keluar drp Masjidil Haram? Saya pernah alaminya. Berpeluh juga dibuatnya. Panik pun ada. Apa tidaknya, masa tu baru selesai tawaf wada’. Masa sgt terhad...dan kena pulang ke hotel. Terbayang, bas dah menunggu utk ke Jeddah. Pusing. Pusing. Pusing. Rasa semakin keliru! Apatah lagi masa tu, adik dan seorang jemaah lain yg menumpang. Macam mana ni??? Doa pada Allah...Alhamdulillah...Ditunjuknya jalan keluar.

Nak tahu caranya? Pergi semula ke dataran Kaabah. Perhatika
n pintu yg akan membawa kita keluar ke hotel ...yg biasa kita gunakan setiap hari. King Abdul Aziz. Marwah. King Fahd dll. Bertenanglah. Tenguk – pintu yang mana- berdasarkan namanya atau nombornya.  Teruslah ke pintu tersebut. Insya’-Allah kita akan selamat sampai ke hotel.


10. Banyakkan berdoa

Paling penting: Banyakkan berdoa. Kadang2 kita akan diuji dg perkara yg dirasakan di luar kemampuan utk menghadapinya. Namun, percayalah, Allah tidak pernah membiarkan tetamu-Nya begitu  sahaja. Segala yg berlaku ada hikmah. Ambil masa utk berfikir. Cari ibrah. Mohon penyelesaian dari Allah.

Moga dikurniakan Allah Haji Mabrur, Umrah Mabrurah...

No comments:

Post a Comment