Sunday 5 March 2017

Saya jadi guru kerana...



SAYA JADI GURU KERANA...

“Dulu-dulu tak terdedah dengan banyak kerjaya, pilih cikgu je-lah...”Pn. Hana, berpengalaman 20 tahun sebagai guru dan 7 tahun pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG)

“Ikut kawan!” Pn. Ida, 12 tahun  sebagai guru dan 15 tahun, pensyarah IPG

“Emak suruh!”En. Khairul,  7 tahun sebagai guru sains sekolah menengah.

Catatan di atas merupakan antara jawapan yang diberi oleh individu-individu daripada warga pendidik. Namun, selain daripada itu, bila soalan yang sama dikemukakan kepada warga pendidik yang lain, pebagai jawapan pula yang akan kita perolehi. Bagi saya pula, bila difikirkan balik, ada dua sebab yag menjadikan saya sebagai seorang guru. Pertama, sebagimana Pn. Hana, kerana tidak terdedah dengan banyak kerjaya. Kedua, amanah Allahyarham ayah: “Pilihlah kerjaya yang memberi pulangan dunia dan akhirat: guru atau doktor”. Anda pula bagaimana? Walau apa pun jawapan yang diberi, saya boleh kategorikan semuanya  kepada tiga: pilihan, terpilih atau tiada pilihan lain! Namun, tidak kira anda di kategori yang mana, apabila disenaraikan  Allah menjadi warga pendidik, sebenarnya takdir ini perlu disyukuri.

            Semasa mula-mula menjadi guru hampir 33 tahun yang lalu, tugas dilaksanakan seperti diarahkan. Seronok dapat kerja, menikmati kebebasan kewangan, berpeluang memanfaatkan gaji untuk membantu keluarga serta melihat pelajar-pelajar berjaya. Di awal perkhidmatan, langsung tidak terfikir tentang keistimewaan seorang guru, lantaran ilmu yag cetek. Namun, sekarang apabila direnung kembali, terfikir tentang keutamaan mengajar dan mendidik. Guru - bukan sekadar pembekal maklumat, tapi pada masa yang sama, bertaggungjawab untuk menyemai nilai-nilai murni ke dalam diri anak didiknya. Bukankah ini tugas penting dan istimewa? Ini selari dengan tugas para rasul sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah (s.a.w): “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

            Kadang-kadang, sebagai seorang guru sains, contohnya, kita terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran, memastikan pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan, mengekalkan peratus kecemerlangan akademik sekolah, tanpa mengambil kira prestasi adab dan akhlak mereka. Atau kita serahkan saja tugas ini kepada ustaz dan ustazah.. Hal ini sama sekali tidak tepat. Ini kerana, semua ilmu datangnya daripada Allah, bersifat murni dan sarat nilai. Sekiranya kita mengambil sedikit inisiatif untuk mengajar dan pada masa yang sama, perihatin terhadap nilai-nilai yang boleh disepadukan dengan isi pelajaran, ini tentu akan menjadikan pengajaran kita lebih bermakna.

            Contohnya, kita megajar tentang tajuk “Hormon”. Diketahui bahawa hormon yang dirembeskan oleh sistem endokrin adalah dalam kuantiti yang secukupnya, tidak boleh terlebih atau terkurang sedikit pun, kerana ini akan menyebabkan masalah dari segi koordinasi kimia dalam badan. Kita boleh cetuskan kefahaman, kesedaran dan keyakinan dalam diri pelajar dengan mengemukan soalan-soalan seperti: “Siapakah yang mengatur semua ini?” “Berapa banyakkah tugas yang perlu dilakukan oleh pengatur ini?” “Macam mana sekiranya pengatur ini leka dalam tugasnya?”; serta pelbagai soalan yang akan membawa pelajar sedar akan keagungan Pencipta, sekaligus mendekatkan diri pelajar kepada-Nya.

            Apakah yang dapat membantu kita mendapatkan idea-idea mengintegrasikan isi kandungan dengan nilai-nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Jawapannya: Dengan mengamalkan budaya IQRA’  Bacalah. Wahyu pertama yag diturunkan kepada Rasulullah (s.a.w.). Apa yang perlu  dibaca? Kitabullah, iaitu kitab maqru’ah (dibaca) dan kitab manzurah (dilihat). Kitab maqru’ah merujuk khusus kepada Al-Qur’an. Namun, boleh juga kita masukkan kesemua ilmu yang ditulis (bercetak atau elektronik), selagi ilmu itu bermanfaat dan tidak bercanggah dengan syari’at lantaran semua ilmu bersumberkan Al-Qur’an.

            Kitab manzurah pula merujuk kepada pemerhatian kita secara tadabbur terhadap alam ciptaan Allah. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada alam – haiwan, tumbuhan dan juga manusia. Terlalu banyak contoh antaranya: sikap penakut seekor arnab, sikap sombong si burung helang, sikap sabar seekor gajah, keutamaan pokok yang tinggi megah mencakar langit dan sebagainya. Ilmu yang diperolehi daripada  kedua-dua kitabullah ini menjadi khazanah yang amat bermanfaat untuk dikongsikan dengan pelajar-pelajar kita.

            Mungkin ada yang bersungut: “Susahnya kalau macam tu – kena baca, kena fikir...”. Ya! Memang susah sekiranya kita telah meletakkan “susah” itu di awal sesuatu perancangan. Namun, sedar atau tidak, segala-gala yang berharga di mayapda ini tidak pernah muncul bergolek di hadapan kita! Untuk mendapatkan pasir, kita cuma perlu keluar rumah (di jalan, di halaman, di tepi pantai), tapi untuk mendapatkan intan permata, sudah tentu bukan semudah itu... Begitu juga dengan ilmu yang berguna, usaha gigih perlu dilakukan bagi mendapatkannya. Namun, percayalah, nun di hujung pencarian, “permata” itu akan diperolehi sesuai dengan usaha yang kita laburkan.

            Persoalan lagi: “Buat apa bersusah hanya kerana nak ajar satu tajuk – kena teroka bukulah... Kena perhati alamlah... Ajar sajalah... Cukup bulan dapat gaji juga!” Ini satu lagi “ayat beracun” yang tidak seharusnya wujud dalam kamus seorang guru kerana jelas menunjukkan kefahaman yang amat cetek tentang tugasnya. Guru begini akan mengajar dan seperti yang dijanjikan kepada semua penjawat awam, dapat gaji, tapi dia kerugian dari dua segi utama: kepuasan serta keseronokan mengajar dan keberkatan tugas sebagai satu ibadah.

            Kepuasan dan keseronokan dalam tugas, khususnya bagi seorang guru ialah apabila melihat proses P&P di dalam kelasnya berjaya, menarik, berkesan dan seterusnya berupaya menjana kejayaan cemerlang pelajar-pelajarnya. Guru yang melaksanakan tugas sambil lewa dan tanpa penghayatan tidak mungkin dapat menghasilkan kesan seperti ini. Sekiranya kita pergi ke mana-mana sekolah pun, guru seperti ini akan wujud. Dan kita dapat perhatikan wajahnya yang muram, tidak ceria dan bermasalah. Dari segi percakapan pula, sentiasa mengeluh, mengeluarkan kata-kata negatif, merungut, tidak puas hati, meremehkan daya usaha dan kreatviti guru-guru lain (khususnya guru-guru baru) dan sekaligus menjadi “parasit” kepada pihak sekolah. Seterusnya, tugas dianggap sebagai beban, membosankan dan dia sentiasa tertekan. Kesannya kehadiran ke kelas tidak disenangi pelajar dan dia juga sukar atau tidak mampu menyayangi pelajarnya. Bila keadaan ini berlaku, mampukah dia merasai ketenangan dan keseronokan bekerja?

            Keberkatan pula terhasil daripada melakukan tugas dalam rangka ibadah – mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Berkat keikhlasan ini, guru akan cuba mengaplikasi segala ilmu yang dipelajarinya, dengan cara yang terbaik, penuh keinsafan bahawa tugas adalah amanah. Setiap pelajar yang berdepan dengannya  membawa harapan daripada ibu bapa untuk melihat mereka berjaya. Ibu bapa yang terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki, sudah tentu akan bersyukur sekiranya guru berjaya mencorakkan anak mereka menjadi insan cemerlang.

            Di pihak guru pula, tidak perlu bimbang tentang penghargaan yang diberikan oleh guru besar, pengetua atau ibu bapa. Sekiranya tugas telah dilaksanakan dengan ikhlas, penghargaan Allah merupakan satu kepastian dan itulah ganjaran yang sebaik-baiknya kerana nilainya melebihi dunia dan isinya. Mengapa? Dengan penghargaan Allah inilah datangnya keberkatan yang mampu membuatkan hati merasa cukup dengan yang sedikit, tenang walau pun sehebat mana ujian yang melanda dan berupaya memanfaatkan ilmu apabila tiba masa ianya dperlukan.

            Keberkatan mengajar dan mendidik bukan terhenti setakat itu sahaja tetapi menjana pulangan yang tersangat lumayan. Ini kerana, sekiranya amalan baik yang diajar itu diikuti oleh pelajar, guru juga akan mendapat pahala yang sama tanpa dikurang sedikit pun. Jadi, bayangkan saham yang akan kita perolehi di akhirat sana sekiranya mendidik beratus-ratus atau beribu murid sepanjang kerjaya . Ya... antara amalan yang berkekalan walau pun kita sudah berada di alam sana: ilmu yang dimanfaatkan.
            Justeru, apa pun sebab kita menjadi guru, akurlah dengan ketentuan takdir kerana itulah yang terbaik untuk kita. Apabila tugas dilaksanakan dengan ikhlas, kerana Allah s.w.t, ketenangan dan keberkatan akan bertamu di setiap detik usia kita. Alangkah indahnya! Seterusnya kita akan dipimpin oleh Allah s.w.t. untuk membina semula generasi rabbani sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di zaman keagungan tamadun Islam, insya’-Allah.

Arkitek membina bangunan,
Jurutera membina jambatan,
Guru membina generasi...

No comments:

Post a Comment