Wednesday 8 February 2017

Hadiah Hari Guru.



HADIAH HARI GURU



Hari itu … Mac 1984…Waktu senja berlabuh, tiba-tiba kesayuan, kepiluan dan kesedihan membelai tangkai hati mengenangkan peristiwa sedih yang baru terjadi... Tanpa disedari, titik-titik jernih, yang melegakan tekanan, anugerah Allah swt, terutama buat kaum Hawa, membasahi pipi untu ke sekian kali. Terpandang aku kepada kotak tisu – hadiah hari guru tahun sebelumnya (16 Mei 1983) – yang hampir 10 bulan tidak berbuka dengan sempurna. Hadiah pembalut sahaja sudah tiada… Tisu di dalamnya setia menanti untuk berbakti… Ya! Inilah masanya, bisik hatiku.

                Dengan langkah lemah, ku capai kotak tisu itu. Terus membukanya. Alangkah terkejutnya aku apabila pandanganku disapa oleh sesuatu yang betul-betul di luar jangkaanku – sebuah tas tangan yang sangat cantik pemberian pelajar-pelajar Tingkatan 4A di Sekolah Menengah Melor (SMM), Kota Bharu, Kelantan! Memori Hari Guru 1983 kemabli bermain di layar fikiranku…

                Hari Guru SMM 1983…Tiada apa-apa sambutan tahun itu. Tiada acara khas. Hari istimewa pendidik seolah-olah dilupakan begitu sahaja. Entah kenapa, aku pun sudah lupa. Mungkin, terlalu sibuk agaknya masa tu. Guru pun tidak menerima apa-apa hadiah daripada pelajar secara rasmi. Secara peribadi, mungkin ada, termasuk aku. Terasa betul-betul teruja. Gembira dan terasa dihargai oleh pelajar-pelajar kelasku.

                “Terima kasih.” Ujarku beriringan dengan senyuman lebar dari telinga ke telinga saat menerimanya daripada Norma, ketua Kelas Tingkatan 4A. Norma turut tersenyum. Manis. Ikhlas. Amat menyenangkan!

                Hadiah itu ku bawa ke makmal sains – “bilik guru” kami, guru-guru sains.

                “Wah! Dapat hadiah!” Cikgu Haliza menegur – teruja!

                Aku tersenyum. Gembira. Apatah lagi menyedari orang lain tak menerima apa-apa daripada pelajar1 Lantas hadiah itu ku buka. Setelah pembalut hadiah cantik itu selesai dibuka, kotak tisu menampakkan dirinya…

                “Budak-budak ni, apa lagi. Tisulah yang diberi pada cikgu. Ya-lah, terutama kita cikgu perempuan. Suka menanagis dengan karenah mereka!” Spontan Cikgu Zafiah memberi komen apabila terpandang kotak tisu tersebut.

                Aku terdiam. Oh! Tisu…Bisik hatiku. Terus berhenti membukanya…hingga kini, 10 bulan kemudian!

                Perasaan bercampur aduk bermain di jiwaku. Terkejut. Terkilan. Terharu. Dan yang amat ketara ialah persaan bersalah! Bersalah pada siapa? Pada pelajar-pelajar yang begitu bersungguh-sungguh menghadiahkan beg tangan secantik itu (kalau ikutkan, masa itu, beg seperti itu layak diletak di atas salah satu bekas hantaran perkahwinan!). Sedangkan aku seolah-olah tidak menghargainya. Agaknya, hari demi hari, pelajar-pelajarku tertunggu-tunggu bila agaknya beg cantik itu akan ku gayakan ke sekolah. Namun, penantian itu terlalu lama – mereka sekarang sudah di Tingkatan 5! Apa nak buat – silapku sendiri. Terpengaruh dan terhenti usaha membuka hadiah hingga ke akhir dek komen seorang kawan…

                Tiba-tiba…segala kesedihan tadi mula memohon izin untuk berlalu pergi diganti dengan satu perasaan terharu dan gembira. Teringat kembali pelajar-pelajar Tingkatan 4A yang begitu dekat di hatiku… Agaknya aku juga dekat di hati mereka, kalau tidak takkanlah sampai berusaha menghadiahkan beg tangan secantik itu! Apatah lagi, di saat Hari Guru yang seolah-olah dilupakan…

                Keesokan harinya, beg it uterus ku gayakan ke sekolah. Pelajar-pelajar Tingkatan 4A sudah berada di Tingkatan 5A masa tu. Dan aku tidak ditugaskan mengajar lagi mereka untuk mata pelajaran Rampaian Sains kerana kelas peperiksaan diberi kepada guru yang lebih berpengalaman dan pemeriksa kertas SPM Sains. Lantaran sibuk dengan kelas-kelas lain, aku tidak berpeluang untuk ke Tingkatan 5A, menceritakan kesilapoanku keada pelajar-pelajar. Aku Cuma memanggil Norma, meminta maaf, mengucapkan terima kasih dan meminta jasa baiknya memberitahu kepada pelajar-pelajar lain betapa tingginya penghargaanku terhadap hadiah yang begitu cantik dan berharga.

                Apabila difikirlkan sekarang, langkah yang lebih bijak ku lakukan ialah berusaha sedaya upaya untuk ke Tingkatan 5A, melahirkan sendiri penghargaan dan memohon maaf atas kesilapan. Selain daripada menjadi pengajaran pada diriku, ianya juga akan menjadi iktibar ada mereka. Apabila diberi apa-apa hadiah, bukalah hingga ke akhirnya…hingga jelas dan nyata apa hadiah yang diberi kepada kita – bukan tertipu dengan kotak pembalutnya!

 

No comments:

Post a Comment